AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia menyambut dua penerbangan sulung antarabangsa ke Sarawak; dari Shenzhen ke Kuching dan Singapura ke Bintulu.
PENERBANGAN pertama Shenzhen-Kuching yang telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 7.50 pagi telah disambut dengan pancuran air. Para tetamu yang tiba telah disambut oleh acara tradisional Sarawak yang diketuai oleh Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian & Kebudayaan Negeri Sarawak; Datuk Abdul Wahab Aziz, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak; Mary Wan Mering, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak; dan Zamani Mohd Rafique, Pengarah
Perhubungan Kerajaan, AirAsia Berhad.
Manakala, penerbangan sulung Singapura-Bintulu yang telah tiba pada jam 11 pagi di Lapangan Terbang Bintulu telah disambut oleh Dato’ Seri Tiong King Sing, Ahli Parlimen Bintulu dan Spencer Lee, Ketua Komersial AirAsia Berhad; bersama-sama Datuk Lee Kim Shin, Datuk Abdul Wahab Aziz, Mary Wan Mering, dan Zamani Mohd Rafique, yang terbang dari Kuching
ke Bintulu.
Dua penerbangan terus antarabangsa tersebut adalah sebahagian daripada pelan AirAsia untuk meningkatkan hubungan ke Malaysia Timur, selari dengan usaha kerajaan negeri untuk terus membangunkan sektor pelancongan dan rangkaian penerbangan ke negeri itu.
Spencer Lee, Ketua Komersial AirAsia Berhad berkata, “Kami amat berbesar hati dan merendah diri untuk menyambut dua penerbangan antarabangsa baharu ke Sarawak. AirAsia
sentiasa komited untuk memperluaskan pasaran di Sarawak dan dua penerbangan terus ini menjadi bukti komitmen kami untuk meningkatkan hubungan dari dan ke negeri ini. Sehingga kini, kami telah menerbangkan seramai 4.8 juta tetamu dari dan ke Sarawak, iaitu 12.1 peratus lebih ramai daripada tahun 2016 dengan China dan Singapura berada dalam senarai lima negara teratas.
“Kami berharap pengenalan dua laluan baharu ini akan menambah jumlah pelawat ke Sarawak pada tahun hadapan, dan kami percaya ia akan tercapai dengan sokongan berterusan yang diberikan oleh kerajaan negeri Sarawak dan pihak berkuasa pelancongan. Kami juga berbangga kerana telah diiktiraf sebagai syarikat penerbangan terkemuka oleh Kerajaan Negeri Sarawak di Anugerah Sarawak Hornbill Tourism 2015/2016 pada tahun ini.
Oleh itu, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak serta Lembaga Pelancongan Sarawak di atas sokongan mereka. Kami juga akan terus menyokong kerajaan negeri untuk meningkatkan hubungan bagi memacu sektor pelancongan negeri ini dan kami berharap untuk menjadi syarikat penerbangan utama yang menghubungkan ‘Bumi Kenyalang’ ke destinasi yang lebih
jauh lagi.”
Sementara itu, Datuk Abdul Wahab telah mengucapkan terima kasih kepada AirAsia kerana telah membuka laluan udara dari hab antarabangsa. “Pengenalan kedua-dua laluan ini amatlah bertepatan untuk meneruskan pembangunan industri pelancongan di Sarawak serta ke persada antarabangsa, dan kami berharap lebih banyak hubungan antarabangsa yang akan diperkenalkan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
AirAsia kini terbang ke 12 destinasi dari Kuching dengan sejumlah 229 penerbangan sehala
seminggu. Selain Shenzhen, syarikat penerbangan itu juga terbang dari Kuching ke Singapura,
Pontianak, Miri, Sibu, Bintulu, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Kota Bharu, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Langkawi. AirAsia juga terbang ke tiga destinasi dari Bintulu ke Singapura, Kuala Lumpur dan Kuching dengan sejumlah 39 penerbangan sehala seminggu. Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).
Mengenai AirAsia
AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka dan terbesar di Asia, dengan rangkaian perkhidmatan yang paling meluas dengan lebih 130 destinasi. Sejak mula beroperasi pada tahun 2001, AirAsia telah membawa lebih 400 juta penumpang dan berkembang dari hanya dua pesawat kepada lebih 200. Kami amat berbangga menjadi Asean tulen (Association of Southeast Asian Nations) dengan operasi yang telah dilancarkan di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, India dan Jepun, serta merangkumi seluruh Asia, Australia, New Zealand dan Timur Tengah. AirAsia telah dianugerahkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia dalam tinjauan tahunan syarikat penerbangan dunia oleh Skytrax selama sembilan tahun berturut-turut dari 2009 sehingga 2017. AirAsia juga telah dianugerahkan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia untuk lima tahun berturut-turut di World Travel Awards 2017, dan menerima anugerah pertama bagi Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia.