Menara Ibu Pejabat BMW Group di Munich dinyalakan seperti bateri. BMW Group Malaysia terus menerajui dengan perkongsian pasaran Kenderaan Hibrid BMW paling tinggi dikuasakan oleh Teknologi eDrive.
BMW Group telah menyerahkan lebih 100,000 kenderaan elektrik kepada para pelanggan di seluruh negara pada tahun 2017, sebagaimana yang dijanjikannya pada awal tahun ini. Ia nyata selari dengan peranan syarikat selaku peneraju dalam mobiliti-elektro.
Nyalaan lampu bakal meraikan pencapaian ini yang menuju ke arah mobiliti masa depan, apabila ibu pejabat BMW Group, turut dikenali sebagai “Four-Cylinder” dan cukup terkenal di dunia serta terletak di utara Munich akan ditukar menjadi sebuah bateri. BMW Group memilih simbol nyalaan lampu ini untuk mewakili perubahan teknologi dalam bidang mobiliti.
“Kami menunaikan janji kami,” kata Pengerusi Ahli Lembaga Pengurusan BMW AG, Harald Krüger. “Lampu setinggi 99 meter ini mengiringi era mobiliti-elektro. Menjual 100,000 unit kenderaan elektrik dalam tempoh setahun merupakan satu pencapaian yang penting. Tetapi ini hanya permulaan untuk kami. Sejak pengenalan BMW i3 pada tahun 2013, kami telah menyerahkan lebih 200,000 unit kenderaan elektrik kepada pelanggan. Menjelang tahun 2025, kami akan menawarkan 25 model elektrik kepada pelanggan. Fokus awal kami ke atas mobiliti-elektro telah membuahkan hasil – mobiliti-elektro akan terus menjadi ukuran saya untuk kejayaan kami pada masa depan.”
Di Malaysia, pengeluar kenderaan premium itu telah mengukuhkan BMW sebagai jenama hibrid premium di negara ini, apabila menyerahkan lebih 6,200 unit kenderaan BMW iPerformance Hybrid dengan teknologi eDrive. Angka penghantaran keseluruhan menunjukkan bahawa lebih 50% daripada jumlah keseluruhan jualan kenderaan oleh BMW Malaysia di negara ini melibatkan kenderaan hibrid dengan teknologi eDrive. Ia merupakan pecahan paling tinggi yang bukan sahaja di ASEAN, malah di dunia buat BMW Group.
Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, “Malaysia merintis jalan bersama beberapa negara progresif lain menerusi inovasi dalam aspek Mobiliti Masa Depan dan Mobiliti Elektro. Strategi BMW iPerformance kami menjadi pemacu utama kepada kejayaan ini. Ketika BMW Group meraikan pencapaian ini di seluruh dunia, mengetahui bahawa kami di Malaysia memainkan peranan penting dalam kejayaan ini sememangnya menggembirakan. Kami tidak sabar untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada tahun 2018.”
Tambah Han lagi, “Malaysia merupakan pasaran kelima terbesar untuk BMW iPerformance selepas Amerika Syarikat, UK, negara-negara Eropah Utara dan Jerman. Selain menjadi pasaran ketiga terbesar untuk model BMW 330e di Amerika Syarikat dan UK; pasaran kedua terbesar di seluruh dunia selepas AS untuk model BMW X5 xDrive 40e serta pasaran ketiga terbesar selepas Jepun dan AS bagi model BMW 740Le.
“Sebahagian besar kejayaan ini disumbang oleh kerajaan Malaysia yang dilihat cukup progresif dengan Dasar Automotif Negara (NAP). Dasar itu menggalakkan adaptasi teknologi dan inovasi baru ke dalam industri automotif di Malaysia,” kata Han.
Elektrifikasi yang fleksibel ke atas semua siri model
Mobiliti-Elektro merupakan satu elemen penting dalam strategi korporat NUMBER ONE > NEXT yang terus mengukuhkan posisi BMW Group sebagai peneraju dalam menyediakan perkhidmatan mobiliti dan mobiliti premium individu. Menjelang tahun 2025, syarikat akan menawarkan 25 model elektrik sepenuhnya dan plug-in hybrid di seluruh dunia. Generasi kelima rangkaian kuasa elektrik dan teknologi bateri yang ditawarkan mulai tahun 2021 menggunakan kit elektrifikasi modular yang boleh diskala. Ia membolehkan semua siri model dipasang dengan semua jenis rangkaian kuasa.
Bagi jenama BMW i yang ditubuhkan pada tahun 2011 pula, syarikat sudahpun memperoleh hak nama untuk BMW i1 hingga i9 dan BMW iX1 hingga iX9. Tahun depan akan menyaksikan pelancaran BMW i8 Roadster, diikuti oleh MINI elektrik sepenuhnya pada tahun 2019; BMW X3 versi elektrik pada tahun 2020; dan teknologi baharu BMW iNext pada tahun 2021. BMW iNext menggabungkan mobiliti-elektro dengan pemanduan autonomi dan opsyen ketersambungan di dalam ruang kabin baharu yang pertama kali diperkenalkan pada model produksi.
BMW Group mengadaptasi pendekatan holistik ke atas aspek mobiliti-elektro lebih awal apabila melancarkan projek i, yang membawa kepada kemunculan BMW i pada tahun 2007. Tahun-tahun berikutnya, jentera elektrik mula berada di atas jalan di seluruh dunia dalam skala paling besar yang pernah dilihat oleh industri automotif. Beberapa siri produksi kenderaan elektrik sepenuhnya BMW i3, salah satu kereta konsep yang paling banyak menerima anugerah di dunia dimulakan pada tahun 2013. Sejak itu, jualan kian meningkat setiap tahun untuk empat tahun berturut-turut.
BMW Group peneraju dalam menyediakan mobiliti-elektro
Terima kasih kepada fokus awalnya ke atas mobiliti-elektro, BMW Group sudahpun mampu menerajui pasaran kereta elektrik. Menurut laporan bebas POLK/IHS (diterbitkan pada 7 Disember 2017), BMW Group jelas mengatasi pesaingnya yang lain dari segi jumlah pendaftaran kenderaan elektrik sepenuhnya dan plug-in hybrid di Eropah dengan perkongsian pasaran sebanyak 21 peratus. Ini bermakna perkongsian pasaran BMW Group dalam segmen kenderaan elektrik adalah tiga kali lebih besar berbanding penguasaannya ke atas pasaran model-model tradisional. Ketka kenderaan elektrik kini hanya merangkumi dua peratus untuk pendaftaran kereta baharu semua pengeluar di Eropah, angka BMW Group sudahpun mencapai enam peratus.
Dalam erti kata lain, BMW Group memiliki penguasaan pasaran yang cukup besar bagi pasaran mobiliti-elektro yang kian berkembang di Eropah. Posisi syarikat dilihat cukup kukuh apabila dinilai pada pasaran seluruh dunia – syarikat memiliki perkongsian pasaran sebanyak 10 peratus dalam pasaran kenderaan elektrik global.
Model-model elektrik mendapat permintaan tinggi di Eropah barat dan AS. Buktinya, ia mewakili tujuh peratus daripada jualan keseluruhan kenderaan BMW di kedua-dua pasaran tersebut. Di negara Scandinavia, di mana BMW i3 menjadi model terlaris BMW, satu daripada empat BMW yang terjual ialah versi elektrik.
Di Jerman, jumlah pendaftaran baru kenderaan elektrik dan plug-in hybrid kereta BMW Group bakal mencecah lebih 10,000 unit pada tahun ini. Rangkaian kuasa elektrik juga memainkan peranan penting ke atas pilihan enjin untuk sesebuah model. Pada tahun 2017, satu persepuluh sedan BMW 3 Series yang diserahkan kepada pelanggan di seluruh dunia ialah model elektrik. Dalam kes BMW 2 Series Active Tourer pula, 13 peratus model yang dijual pada tahun 2017 ialah plug-in hybrid. Sejak dilancarkan pada Jun 2017, MINI Cooper S E Countryman ALL4 (gabungan penggunaan bahan api 2.3-2.1 l/100km; emisi CO2 52-49 g/km) mewakili satu persepuluh daripada jualan keseluruhan MINI Countryman di seluruh dunia. Jualan BMW i3 elektrik sepenuhnya juga meningkat sebanyak satu perempat (semua angka sehingga November 2017).
Bagi melengkapkan lagi sembilan kenderaan elektrik empat roda yang ditawarkan oleh BMW Group, syarikat turut menghasilkan jentera dua roda untuk mobiliti-elektro premium: BMW C evolution. Berikutan pengenalan bateri baharu yang mampu meningkatkan jarak skuter itu sehingga 160km, jualan skuter elektrik tersebut meningkat sebanyak 80% berbanding 11 bulan tahun lalu. Sebanyak 1,500 unit berjaya dijual di seluruh dunia, selain 100,000 kereta elektrik yang dijual oleh BMW pada tahun 2017.
Majlis penyerahan di BMW Welt
Seorang pelanggan bertuah menerima kejutan istimewa pada hari ini: Seorang pemandu berusia 80 tahun dari wilayah Utara Rhine-Westphalia, Jerman menerima BMW i3 berwarna biru (Protonic Blue) di BMW Welt, Munich petang tadi. Sekali gus menjadikan beliau pelanggan ke 100,000 yang membeli kenderaan elektrik BMW Group pada tahun ini. Pengerusi Ahli Lembaga Pengurusan BMW AG, Harald Krüger mengalu-alukan kedatangan beliau ke BMW Welt dan menyerahkan sendiri kunci kereta baharu itu. Katanya, “Keseronokan berhubung dengan mobiliti elektro dirasai oleh setiap generasi. Menyerahkan kenderaan elektrik yang ke-100,000 unit ke atas jalan raya pada tahun ini sememangnya satu momen istimewa buat saya.”
Simbol kilauan
Bagi meraikan pencapaian penting ini, menara ibu pejabat “Four-Cylinder” BMW dipasang dengan lampu menjadi sepeti bateri yang diletakkan secara menegak. Ia mewakili pemikiran ke hadapan yang menjadi asas kepada DNA BMW.
Iluminasi istimewa itu akan dipancarkan ke atas bangunan pada petang 18 Disember mulai 8:00pm hingga tengah malam. Projek itu disempurnakan dengan kolaborasi organisasi kebudayaan Spielmotor Muenchen. Kerjasama kerajaan-swasta di antara pihak Bandar Munich dan BMW Group ini dimulakan pada tahun 1979. Ia bertujuan membawakan kepelbagaian budaya ke Munich, selain mengukuh serta mengembangkan peranan bandar itu sebagai destinasi kebudayaan di peringkat nasional dan antarabangsa.