Batik Air melancarkan penerbangan terus dua kali seminggu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno – Hatta (CGK) Jakarta ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI), bagi meluaskan rangkaian antarabangsanya.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Badlisham Ghazali berkata penerbangan itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

“Kami gembira melihat satu lagi syarikat penerbangan terbang ke Kota Kinabalu selepas menyepadukan operasi dalam satu teminal pada 2015,” katanya menerusi kenyataan.

Mengikut rekod, pergerakan trafik penumpang di BKI mencatat pertumbuhan yang baik iaitu sejumlah 7.3 juta dari Januari hingga November 2017, meningkat 11.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam tempoh yang sama, BKI mencatatkan 2.3 juta trafik penumpang antarabangsa, atau peningkatan sebanyak 22.1 peratus berbanding tahun lepas. Pelancongan di Sabah dilihat sedang meningkat dengan setiap bandar menawarkan pelbagai tarikan budaya dan keindahan alam semula jadi.

“Laluan baru diperkenalkan Batik Air adalah tepat bagi memudahkan penumpang dari Indonesia berkunjung ke Sabah,” katanya Badlisham.

Sementara itu, Pengarah Presiden Batik Air, Kapten Achmad Luthfie berkongsi pendapat sama mengenai permintaan semasa bagi pelancongan dan destinasi perniagaan dengan laluan baru ini mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi khususnya bagi Indonesia. Beliau berkata, berdasarkan kepada jangkaan jumlah penumpang bagi laluan CGK-BKI, ada kemungkinan tinggi kekerapan penerbangannya meningkat kepada 7 kali seminggu daripada jadual asal penerbangan iaitu dua kali seminggu.

“Batik Air juga merancang untuk mewujudkan lebih banyak laluan baru ke Malaysia Timur seperti Kuching,” kata Achmad.

Batik Air akan menggunakan pesawat Airbus A320 atau Boeing 737-900 ER untuk operasi laluan baru ini. Batik Air ketika ini mengadakan lebih 35 destinasi domestik di Indonesia, selain destinasi antarabangsa seperti Singapura, Kuala Lumpur, Chennai dan Perth. Syarikat itu juga memiliki sejumlah 51 pesawat yang beroperasi sebanyak 280 penerbangan harian.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini