TM terus unggul sebagai institusi terkemuka dengan kemenangan besar di MSWG dan  anugerah NACRA. Syarikat turut diiktiraf sebagai antara Syarikat Terbaik untuk Bekerja di Asia

TELEKOM Malaysia Berhad (TM) terus mendapat pengiktirafan bagi tadbir urus, ketelusan, laporan korporat berintegrasi dan juga pembangunan modal insannya

Baru-baru ini, syarikat telah diiktiraf dalam majlis Malaysia-ASEAN Corporate Governance Transparency Index, Findings and Recognition (The Malaysian Chapter) 2017 anjuran Minority Shareholder Watchdog Group (MSWG). Dalam majlis tersebut, TM telah membolot anugerah Tadbir Urus (CG) Tahunan bagi lima (5) kategori, iaitu:

  • Top 4 Excellence Award for Overall CG & Performance
  • Top 2 Excellence Award for CG Disclosure
  • Excellence Award for Sustainability Practices Merit Award for Board Diversity
  • Industry Excellence Award – Telecommunications & Media

Majlis Malaysia-ASEAN Corporate Governance Award 2017 mengiktiraf dan memberi penganugerahan kepada Syarikat-syarikat Senaraian Awam (PLC) di Malaysia yang mempunyai amalan tadbir urus korporat yang baik. Anugerah ini merupakan kemuncak bagi Malaysia-ASEAN Corporate Governance Transparency Index, Findings and Recognition 2017 di mana ia menyenaraikan 100 syarikat teratas yang mematuhi kriteria yang ditetapkan di bawah kaedah Kad skor CG ASEAN. Tahun lalu, TM telah berjaya merangkul enam (6) anugerah, di mana Syarikat telah menduduki tangga ke-2 bagi Top CG and Performance (Overall); Long Term Value Creation; tangga kedua bagi CG Disclosures; Best Annual General Meeting (Overall); Board Diversity; dan Industry Excellence in Telecommunications and Media.

Nor Fadhilah Mohd Ali, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, TM (tengah) menerima Anugerah Perak bagi Kecemerlangan Keseluruhan Laporan Tahunan Terbaik daripada Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Kewangan ke-2 (2 dari kiri) di Majlis Anugerah Laporan Tahunan Negara (NACRA) 2017 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Sementara itu, laporan tahunan TM bagi tahun 2016 turut menerima lima (5) anugerah berprestij di Majlis Anugerah Laporan Tahunan Negara (NACRA) 2017 yang telah berlangsung baru-baru ini, TM membawa pulang anugerah-anugerah berikut:

  • Kecemerlangan Keseluruhan Laporan Tahunan Terbaik (Perak)
  • Laporan Berintegrasi Tahunan (Emas)
  • Laporan Kelestarian (Emas)
  • Laporan Tahunan Terbaik Bahasa Malaysia (Perak)
  • Anugerah Kecemerlangan Industri bagi Syarikat Papan Utama dalam Perdagangan dan Perkhidmatan selama 21 tahun berturut-turut.

Selain itu, pada majlis anugerah Annual Report Competition (ARC) 2017 yang berlangsung di New York pada bulan Oktober lalu, TM telah memenangi anugerah Gangsa dalam kategori Specialised Annual Report – Combined Annual & Sustainability Report.

Mengulas mengenai semua kemenangan ini; Dato’ Sri Mohammed Shazalli Ramly, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM berkata, “Kami amat berbesar hati dan pada masa yang sama amat teruja kerana terus mendapat pengiktirafan di majlis-majlis anugerah berprestij seperti MSWG dan NACRA. Pengiktirafan ini sememangnya penting buat kami bagi membuatkan kami sentiasa bersedia untuk terus berusaha ke arah kecemerlangan dan mengekalkan perniagaan kami, di mana ia dapat diterjemahkan kepada pengalaman pelanggan yang lebih baik buat pelanggan-pelanggan kami di seluruh negara. Anugerah-anugerah ini sememangnya mengukuhkan lagi kedudukan Syarikat sebagai salah sebuah institusi terkemuka negara. Semua kemenangan ini turut menjadi pendorong kepada Warga Keluarga TM untuk terus memberikan prestasi terbaik mereka, sama seperti yang mereka sentiasa lakukan! Tahniah di atas kerja keras dan komitmen berterusan!”

“TM berbangga untuk menyatakan bahawa kejayaan-kejayaan ini merupakan bukti usaha kami untuk terus mengamalkan tadbir urus, ketelusan dan kebertanggungjawaban pada tahap yang terbaik, Anugerah-anugerah ini akan mendorong kami untuk terus menyampaikan mesej korporat kami bagi mengukuhkan lagi keyakinan pihak-pihak berkepentingan kami,” tambah beliau.

Izlyn Ramli, Naib Presiden, Jenama dan Komunikasi Kumpulan TM, (kiri) menerima Anugerah Kecemerlangan Industri 2017 – Telekomunikasi & Media daripada Tan Sri Dato’ Sri Dr Sulaiman Mahbob, Pengerusi MSWG (2 dari kiri) pada Majlis MSWG-ASEAN corporate governance Recognition 2017, yang berlangsung baru-baru ini sambil diperhatikan oleh Datuk Othman Aziz, Timbalan Menteri Kewangan I (2 dari kanan) dan Lyn Rahman, Pengurus Besar, MSWG (kanan).

NACRA dianjurkan bersama oleh Bursa Malaysia Berhad, Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA). Objektif utama NACRA adalah untuk mempromosikan kecemerlangan dalam laporan korporat, ketelusan dan kebertanggungjawaban yang terbaik oleh setiap pihak dalam laporan kewangan mereka dan anugerah-anugerah tersebut adalah untuk memberi penghargaan dan mengiktiraf laporan yang berkualiti tinggi.

Memenangi anugerah NACRA mengiktiraf kedudukan sesebuah organisasi korporat dalam kalangan organisasi lain dan menyumbang kepada kekuatan jenamanya.

Sementara itu, Anugerah ARC diiktiraf di peringkat global, menyediakan platform untuk piawaian tertinggi dalam industri laporan tahunan. Ia adalah persaingan antarabangsa terbesar di dunia yang menghargai kecemerlangan dalam laporan tahunan. Pertandingan ini terbuka kepada syarikat, syarikat kecil, agensi kerajaan, pertubuhan dan persatuan bukan berasaskan keuntungan, serta agensi dan individu yang terlibat dalam menghasilkan laporan tahunan.

Pada bulan Oktober lalu, TM turut diiktiraf oleh HR Asia sebagai salah satu penerima untuk anugerah berprestij Syarikat-syarikat Terbaik untuk Bekerja di Asia.

2017 HR ASIA Best Companies to work for in Asia

TM merupakan antara 45 syarikat yang diiktiraf menerima anugerah daripada 320 buah syarikat merentasi pelbagai industri di Malaysia. TM telah diakui sebagai salah sebuah syarikat terbaik sebagai tempat bekerja dari segi budaya tempat kerja, penglibatan pekerja, kemajuan kerjaya dan peluang pembangunan. Apa yang menariknya, TM adalah satu-satunya syarikat telco di Malaysia yang disenaraikan untuk anugerah ini!

2017 HR ASIA Best Companies to work for in Asia 2017

“Kami amat teruja untuk dinamakan sebagai salah satu Syarikat Terbaik untuk Bekerja di Asia, dan sebagai satu-satunya syarikat telco di Malaysia tersenarai untuk anugerah ini, menjadi bukti komitmen dan usaha Syarikat dalam mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif buat anggota kami dari segi pampasan, faedah, pengiktirafan prestasi dan keseimbangan kerja-kehidupan, serta banyak lagi. Dengan semua aspek ini diambil kira, kami dapat mengekalkan motivasi anggota untuk berada pada tahap tinggi dan meningkatkan Indeks Kebahagiaan Utama (KHI) mereka, yang seterusnya mendorong mereka untuk terus memberikan kecemerlangan dan mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI),” akhiri Dato’ Seri Shazalli.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini