Tiada sebarang yuran atau bukti pembelian diperlukan untuk menyertai peraduan ini

PERADUAN ‘Dream Car Art’ 2018 Toyota (DCAC), peraduan melukis peringkat global kini dibuka bagi penyertaan kanak-kanak berusia 15 tahun ke bawah.

Pada 2017, peraduan ini dianjurkan di 79 buah negara seluruh dunia dengan lebih daripada 829,000 penyertaan di bawah tema ‘Your Dream Car’ telah diterima sejak tahun 2013. Peraduan ini bermatlamat untuk memberi motivasi kepada kanak-kanak dari segenap pelusuk dunia untuk berkongsi idea berkaitan pengangkutan masa hadapan dengan cara melukis kereta impian mereka sendiri.

Tujuan program ini adalah untuk menggalakkan dan menginspirasikan kreativiti dalam kalangan kanak-kanak. Setiap tahun, ribuan kanak-kanak berkongsi impian mereka tentang bagaimana kereta di masa hadapan dapat menjadikan dunia lebih baik, dalam bentuk seni. Program ini juga disifatkan sebagai satu daripada peraduan seni terbesar di dunia.

Peraduan ini dibahagikan kepada tiga kategori berdasarkan umur kanak-kanak yang ikut serta. Kategori ini adalah di bawah 8 tahun, dari 8 hingga 11 tahun dan 12 hingga 15 tahun. Tiga lukisan paling inovatif dari setiap kategori akan dihantar ke Jepun untuk ke peringkat dunia. Di Malaysia, peraduan ini dijalankan sebagai sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh UMW Toyota Motor (UMWT) setiap tahun. Peraduan peringkat kebangsaan akan dibuka dari 1 Disember 2017 hingga 20 Februari 2018.

“Toyota percaya di dalam menyediakan peluang kepada kanak-kanak Malaysia untuk berkongsi konsep kereta idaman mereka diperingkat global. Kami berharap akan terus dapat menggalakkan dan memberi inspirasi kepada minda-minda muda di sini untuk tahun-tahun mendatang,” kata Timbalan Pengerusi UMWT, Akio Takeyama.

“Bagi lima tahun terakhir, UMWT telah menghantar ramai peserta peringkat akhir yang meraih pengiktarafan diacara global di Jepun. Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berbangga dengan kanak-kanak kita di atas inovasi dan kemahiran pemikiran kreatif yang ditunjukkan saban tahun,” tambah Presiden UMWT, Ravindran K.

Hadiah pertama bagi peraduan ini di Malaysia ialah sebuah Apple iPad Mini, diiukti dengan sebuah basikal mountain bike untuk hadiah kedua, manakala tempat ketiga akan menerima habuan berupa tiket ke Taman Tema Legoland. Hadiah saguhati lainnya termasuk baucar MPH bagi peraduan Instagram yang memerlukan peserta menggunakan tanda #mydcac2018.

Lukisan oleh sembilan pemenang dari Malaysia akan dihantar ke peraduan peringkat global. Peserta akhir akan dipilih oleh barisan juri yang terkemuka pada pemilihan peringkat global bersama serahan lain dari seluruh dunia. Peserta peringkat akhir bagi DCAC 2018 akan diterbangkan ke Jepun bersama seorang penjaga untuk menghadiri majlis penganugerahan pada Ogos 2018. Tiket pesawat kelas ekonomi pergi-balik turut akan disediakan, dengan semua perbelanjaan di sana termasuk tempat tinggal akan ditanggung sepenuhnya oleh Toyota Motor Corporation. Di Jepun, pemenang-pemenang akan diberi peluang mengunjungi kilang Toyota dan pendedahan terhadap pelbagai sisi budaya Jepun.

Tiada pembelian atau yuran diperlukan untuk menyertai peraduan ini. Kerja seni yang dihantar wajib dilukis tangan dengan warna dari apa saja medium, termasuk warna air, marker ataupun krayon. Apa juga jenis kertas akan diterima, dan digalakkan dalam saiz A3. Bagaimanapun, saiz maksimum kertas tidak boleh melebihi ukuran 400mm x 550 mm. Gambar yang dihasilkan dari komputer, potongan serta tampalan kertas tidak akan diterima. Peserta digalakkan untuk menggunakan imajinasi dan kreativiti dalam membayangkan kereta futuristik dengan latar yang menyokong idea berkenaan. Lukisan-lukisan yang dihasilkan dijangka akan dilihat oleh khalayak global dan untuk itu, ia perlu menepati unsur kepelbagaian budaya.

Borang penyertaan boleh didapati di laman web rasmi toyota.com.my. Anak kepada pekerja atau mereka yang ada kaitan dengan UMWT juga digalakkan untuk menyertai peraduan ini.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini