KEKUATAN lakonan Shaheizy Sam, Farid Kamil dan Ayda Jebat dalam filem Pinjamkan Hatiku yang ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 30 November lalu tidak perlu dipertikaikan.

Melihat kepada penerimaan awal dan respons positif penonton pada malam gala filem ini baru-baru ini,  seperti memberikan harapan ia tidak perlu memaksa audiens mengalirkan air mata dan merasai emosi setiap pelakon utamanya.

Apa yang menarik, filem arahan Osman Ali ini dilihat jauh lebih matang berbanding naskhah yang pernah ditampilkan dan memiliki jalan cerita serta konflik yang berbeza.

Menurut Osman yang sering mendapat jolokan pengarah air mata, filem terbaru yang menjalani penggambaran di Sungai Lembing, Pahang ini mempunyai keistimewaan tersendiri apabila ia menampilkan jalan cerita berbeza dan mampu mengusik jiwa.

“Menerusi filem terbaru ini, apa yang saya boleh katakan ia sangat berbeza dengan filem romantik yang pernah saya arahkan. Jika sebelum ini saya terikat berikutan adaptasi daripada novel yang sudah mempunyai jalan cerita perlu saya ikuti.

“Bagaimanapun, menerusi filem Pinjamkan Hatiku ini saya diberi kebebasan menggarap dan mewarnakan jalan cerita filem ini supaya ia diterima penonton dan lebih menyentuh hati. Selain jalan cerita, naskhah ini turut menampilkan sinematografi menakjubkan dan lakon layar yang mengagumkan.

“Walaupun banyak halangan yang terpaksa kami tempuh sepanjang pembikinan filem ini, kami berjaya mendapat hasil terbaik demi mencantikkan keseluruhan filem ini.

“Saya berharap supaya segala pengorbanan yang dilakukan sepanjang penggambaran berbaloi dan penonton dapat menerima buah tangan pertama saya ini,” katanya.

Menurut Osman, dia sangat bertuah apabila dapat mengumpulkan tiga pelakon hebat tanah air terbabit sebagai peneraju.

Katanya, tiga-tiga pelakon itu memberikan komitmen yang cukup tinggi sehingga Ayda dan Sam sanggup menguruskan tubuh badan demi menghayati watak masing-masing.

“Lakonan ketiga-tiga pelakon ini tidak perlu saya sentuh kerana mereka memberikan lakonan yang cukup baik. Saya percaya penonton juga dapat merasai sisi berbeza mereka apabila ada yang mengalirkan air mata ketika menyaksikan filem ini.

“Saya perlu berikan kredit kepada primadona Ogy Ahmad Daud kerana mendidik pelakon ini sebelum menjalani penggambaran. Saya yakin penonton akan kagum melihat lakonan Sam, Farid dan Ayda,” katanya.

Selain lakonan hebat Ayda, Sam dan Farid, filem ini turut dibintangi Lia Natalia, Daaim Jailani, Azizah Mahzan, Normah Damanhuri dan Sharifah Haslinda.

Filem terbitan Aurawhite Global Sdn Bhd dengan kerjasama Nuansa Film Sdn Bhd itu mengisahkan seorang penulis novel bernama Laila Safitri yang pulang ke kampung untuk menyiapkan karya terbarunya.

Ketika berada di sana, bibit cinta mula terbit apabila Laila jatuh hati dengan rakan sekolahnya, Naufal (Sam).

Bagaimanapun, konflik mula timbul apabila munculnya seorang lelaki bernama Doktor Hasnan (Farid) yang turut menyimpan rasa terhadap Laila Safitri. Sementara itu, filem ini juga menjadi panas sejak ia ditayangkan apabila trending di Twitter setiap hari.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini