Pasangan itu sah diijabkabulkan dengan sekali lafaz kira-kira jam 9.50 malam tadi di hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur

BELUMPUN reda spekulasi majlis pertunangan secara senyap antara pasangan Fattah Amin, 27, dan Nur Fazura Sharifuddin, 34, pada 13 November lalu, malam tadi berlangsung pula majlis pernikahan secara tertutup yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu kota ini.

Pasangan itu yang mengadakan sidang akhbar pada 23 November lalu sejurus pulang dari menunaikan ibadah umrah, tidak menafikan akan bernikah dalam masa terdekat dan akhirnya malam tadi pasangan itu sah bergelar suami isteri.

Syarikat rakaman Fazura, Universal Music dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan, pasangan itu sah diijabkabulkan dengan sekali lafaz kira-kira jam 9.50 malam.

Pernikahan itu berlangsung dalam satu majlis tertutup yang dihadiri keluarga dan rakan terdekat sahaja.

Fattah, 27, dan Fazura, 34, pada Khamis lalu (23 November) merungkai segala persoalan dan spekulasi mengenai hubungan mereka yang dikatakan telah bernikah sebelum berangkat menunaikan umrah pada 15 November lalu.

Menerusi sidang media yang diadakan sejurus mereka tiba di tanah air, pasangan itu menyangkal dakwaan sudah berkahwin sebaliknya hanya melangsungkan pertunangan pada 13 November lalu.

Bagaimanapun, dalam sidang media itu, pasangan sama cantik dan sama padan itu tidak menafikan akan bernikah dalam masa terdekat yang akan diadakan secara tertutup sementara majlis resepsi pula akan diadakan pada tahun depan.

Selamat Pengantin Baru dari Prebiu.com ucapkan kepada pasangan Fattah Amin dan Nur Fazura Sharifuddin. Semoga berbahagia hingga ke anak cucu. Gambar dari Instagram Rizman Ruzaini

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini