• Usaha sama TNB dan Yayasan Institut Jantung Negara (IJNF)
  • TNB tanggung kos naik taraf, senggara dan operasi untuk tempoh lima tahun

TENAGA Nasional Berhad (TNB) telah menjalin usaha sama dengan Yayasan Institut Jantung Negara (IJNF) untuk menaik taraf dormitori di kompleks Institut Jantung Negara (IJN) bagi kegunaan ahli keluarga atau waris pesakit.

Syarikat utiliti negara itu menyumbang hampir RM390,000 secara ‘one off’ untuk kos menaik taraf  dan menambah baik infrastruktur yang meliputi  keperluan asas dormitori.

Usaha sama tersebut, satu lagi inisiatif Tanggungjawab Korporat (CR) TNB, turut melibatkan kos penyenggaraan dan operasi dormitori bagi tempoh lima tahun sehingga 2021 berjumlah RM200,000 setahun.

“Dengan adanya dormitori yang lebih selesa dan serba baharu ini, ahli keluarga serta waris pesakit boleh tinggal buat sementara dalam keadaan selesa dan selamat,” demikian menurut Ahli Lembaga Pengarah TNB, Datuk Sakhtivel Alagappan di Majlis Perasmian Better Brighter Dormitory IJN Foundation – Tenaga Nasional di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Datuk Sakhtivel, kemudahan itu boleh mengurangkan beban golongan terbabit yang tidak mampu menyewa bilik hotel dan terpaksa berada di sisi pesakit untuk tempoh yang lama.

Katanya, usaha sama ini selaras dengan slogan TNB, “Better. Brighter” yang mencerminkan komitmen TNB dalam menyinari kehidupan masyarakat agar mereka dapat menikmati kehidupan yang selesa.

Sementara itu, Pengerusi IJN Foundation, Toh Puan Dato’ Seri Dr. Hajah Aishah Ong, dalam ucapan aluannya berkata, pembukaan “Better Brighter Dormitory IJN Foundation – Tenaga Nasional” ini juga amat bermakna bagi Institut Jantung Negara kerana dirasmikan bersempena ulang tahun ke-25 IJN dan ulang tahun ke-22 IJN Foundation pada tahun ini.

“Better Brighter Dormitory IJN Foundation – Tenaga Nasional” ini mampu menampung seramai 56 penghuni dalam suatu masa. Terdapat 3 kategori pilihan penginapan antaranya; Bilik Keluarga, Katil Perseorangan dan Katil Bertingkat.

“Better Brighter Dormitory, IJN Foundation – Tenaga Nasional” ini dilengkapi dengan kemudahan asas seperti pendingin hawa, mesin basuh dan mesin pengering pakaian, seterika, almari pakaian peribadi, televisyen di ruang istirehat, pantry yang menyediakan penapis air dan peti sejuk,” tambah Toh Puan Hajah Aishah.

Turut hadir Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman, Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Ir. Mohd Aminuddin Mohd Amin, Pengerusi Institut Jantung Negara, Tan Sri Dato Sri Dr. Haji Mohd Nasir bin Mohd Ashraf, Pengerusi Yayasan Institut Jantung Negara, Toh Puan Dato’ Seri Dr. Aishah Ong dan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Jantung Negara, Dato Seri Dr. Mohd Azhari Yakub.

Antara program CR TNB yang lain adalah Projek Mesra Rakyat, Projek Baiti Jannati (Rumahku, Syurgaku), Pendawaian Semula, Program Sekolah Angkat PINTAR serta Klinik Hoki untuk sekolah-sekolah yang dikenal pasti di seluruh negara.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini