Persepsi pertama yang muncul dalam fikiran apabila menerima kunci kereta ini ialah Sporty, Mewah dan Ultra Moden.
SEBAIK sahaja melihat kepada rekabentuk luarannya sudah cukup menterjemahkan ciri sebenar kekuatan model coupe tiga pintu yang berlambang tiga bintang ini.
Paling ketara logo emblem besar di tengah-tengah muncung hadapan kereta ini dan bamper hadapan yang cukup sporty sudah cukup menarik perhatian sesiapa sahaja dan pasti “memberikan laluan” ketika jentera berwarna merah hati ini meluncur laju di lebuh raya.
Rekabentuk luarannya pula cukup sporty dengan garisan lentuk badannya dari hadapan hingga ke belakang begitu padan dan kelihatan besar seperti mana sebuah kereta sedan.
Lampu LED yang cukup terang pada waktu siang juga ternyata seolah-olah memberikan satu amaran bahawa model Mercedes-Benz E200 Coupe AMG Line ini mampu menguji tahap adrenalin seseorang setiap kali pedal minyak ditekan.
Model E Class Coupe ini sebenarnya cukup selesa dinaiki empat penumpang dan penumpang belakang juga mudah memasuki kereta ini kerana kerusi elektronik pemandu dan penumpang hadapan akan bergerak secara elektronik ke hadapan setiap kali kerusi ini ditolak.
Begitu juga apabila kerusi ini kembali bergerak secara elektronik dalam beberapa saat kepada kedudukan asal selepas bahagian sandarnya di tolak ke belakang. Tidak dilupakan tali pinggang hadapan kereta ini akan secara automatik menjulurkan sebahagian talinya sedikit ke hadapan dan memudahkan pemandu atau penumpang memasangnya.
Rekaan sporty kerusi saduran kulit Nappa yang lembut dan jahitan yang halus memberikan nilai mewah kepada pemilik kenderaan ini ditambah pula dengan paparan dua skrin LED besar yang masing-masing bersaiz 12.3 inci pada bahagian kokpit memperlihatkan ciri teknologi ultra moden model ini.
Apa yang menarik pada skrin ini ialah semua maklumat mengenai kenderaan ini, navigasi, sistem hiburan dan tetapan boleh dikawal dengan menggunakan butang kawalan sentuh ditengah-tengah tempat duduk pemandu hadapan. Penulis cukup teruja apabila skrin komputer paparan meter kelajuan kereta ini boleh diubah kepada tiga jenis pilihan iaitu Sport, Classic dan Progressive seumpama skrin pada jam pintar.
Setiap rekabentuk dalamannya dihasilkan secara terperinci dan tepat dengan menitikberatkan ciri mewah sekali gus melambangkan status seseorang yang gemar memandu kenderaan dua pintu ini sama ada ke tempat kerja atau bersantai di hujung minggu bermain golf.
Sesuai dengan cuaca negara ini yang panas, corong pendingin hawa kereta ini cukup banyak malah rekaannya cukup eksklusif seakan turbin udara dihiasi krom sesuai gaya sporty kereta ini. Terdapat tiga klimak zon dengan ciri THERMOTRONIC yang membolehkan mod aliran udara diselarikan mengikut keperluan penumpang.
Pemandu dan penumpang hadapan boleh menentukan tahap kawalan suhu dan pengaliran pendingin hawa secara berasingan dan begitu juga dengan penumpang belakang.
Padanan sistem bunyi tiga dimensi (3D) jenis Burmester® sudah cukup menghiburkan sepanjang perjalanan dengan butang kawalan di stereng memudahkan pemandu memberi tumpuan sepenuhnya di jalan raya.
Lampu ambien LED yang menghiasi ruang dalaman kereta ini pula memberikan nilai sentuhan yang unik malah boleh memilih sehingga 64 jenis warna mengikut selera atau mood anda. Hebat bukan!
Kelebihan lampu ambien menggunakan teknologi LED ini boleh diselaraskan mengikut tahap cahaya sama ada terang atau malap malah boleh ditutup menerusi sistem multimedia yang disediakan.
Prestasi Enjin
Mercedes-Benz E200 Coupe ini menggunakan enjin empat silinder sebaris turbo caj dengan bersesaran 1,991cc yang mampu menyalurkan 184hp dengan tork mencecah 300Nm dan kelajuan maksimum boleh dicapai 240km/j.
Prestasi pecutan antara 0-100km/j hanya 7.8 saat dengan tahap penggunaan bahan api sedikit rendah iaitu 6 liter bagi setiap 100km.
Model 2017 ini yang dilengkapi dengan transmisi automatik 9 kelajuan 9G-TRONIC memberikan keselesaaan kepada penukaran gear dan penjimatan kepada tahap penggunaan bahan api. Secara jujur untuk mencapai tahap penukaran gear penuh kepada sembilan kelajuan, anda harus memecut kenderaan ini lebih dari 130 kilometer sejam dan jika tidak gear kereta ini akan kekal berada pada tahap lapan kelajuan.
Butang tukaran gear Dinamik yang terletak ditengah-tengah konsul pemandu pula membolehkan anda memilih jenis pemanduan sama ada comfort, sporty, sport +, efisyen atau kustom mengikut karektor pemandu sendiri.
Ketika penulis mencuba jenis pemanduan sport + mendapati, sistem teknologi enjinnya bertindak secara responsif dengan dibantu sepenuhnya oleh sistem brek elektronik dan suspensi kawalan udara badan yang mampu memberikan cengkaman dalam setiap permukaan jalan raya yang dilalui.
Penukaran gear juga dapat dirasakan lebih pendek dan pantas malah pemandu boleh menggunakan pedal tukaran gear pada stereng dengan mudah. Meskipun enjin kereta ini dikerah bekerja dengan lebih keras, namun ia sama sekali tidak memberi kesan kepada tahap penggunaan bahan api.
Sistem keselamatan
Sesuai dengan tanda harga kereta ini, sistem teknologi keselamatan yang ditawarkan berada pada tahap tertinggi yang meliputi sistem brek automatik yang bertindak balas membrek secara automatik sekiranya jarak kenderaan ini berada terlalu rapat dengan kenderaan hadapan.
Sistem amaran perlanggaran juga cukup responsif dengan memberi amaran bunyi yang jelas apabila kenderaan ini terlalu hampir dengan kenderaan hadapan.
Sistem brek kecemasan autonomous juga bertindak pantas membrek apabila pejalan kaki yang tiba-tiba melintas dihadapan ketika kenderaan ini berada di jalan raya. Sensor radarnya akan menilai potensi kemalangan yang boleh berlaku sekiranya pemandu tidak memberi fokus kepada pemanduan.
Model ini dilengkapi pelbagai ciri sistem keselamatan antaranya enam beg udara keselamatan, sistem kawalan kestabilan, sistem brek anti kunci (ABS) dan sistem agihan brek elektronik (EBD), sistem amaran titik buta memberikan keyakinan kepada pemanduan.
Ciri Menarik Mercedes-Benz E200 Coupe AMG
- Menampilkan gril hadapan besar dengan emblem krom Mercedes-Benz
- Rekabentuk serba moden dan sporty
- Panjangnya 4,826 mm dan lebar 1,860 mm
- Ruang kokpit ultra moden dengan dua skrin LED 12.3 inci
- Sistem bunyi tiga dimensi (3D) jenis Burmester®
- Lampu ambien LED dengan pilihan 64 jenis warna
- Prestasi pecutan antara 0-100km/j hanya 7.8 saat
- Transmisi automatik 9 kelajuan 9G-TRONIC
- Dilengkapi enam beg udara keselamatan
SPESIFIKASI
Mercedes-Benz E200 Coupe AMG
Enjin: 1,991cc, Turbo, empat silinder
Transmisi: 9 G-TRONIC sembilan kelajuan
Kuasa maksimum: 184hp @ 5,500rpm
Tork maksimum: 300Nm @ 1,200rpm
Ciri keselamatan: Enam Beg udara, ABS, EBD, Dynamic Stability Control (DSC)
Tangki : 66 liter
Harga : RM435,888