PASANGAN pelakon Fattah Amin, 27, dan Fazura, 34, akhirnya membuka mulut sekali gus memecahkan kebuntuan dan teka-teki serta spekulasi yang bermain di fikiran peminat kedua-dua selebriti ini selama 11 hari mengenai status hubungan mereka yang dikatakan bernikah.

Mereka berdua akhirnya mengakui sudah bertunang pada 13 November lalu namun menafikan bernikah pada keesokan harinya.
Fattah menegaskan, majlis yang berlangsung pada 14 November hanya majlis doa selamat dan bukannya majlis pernikahan seperti mana yang dianggap oleh semua pihak khususnya pihak media.

“Keluarga saya menghantar rombongan merisik dan meminang Fazura di kediaman keluarganya di Petaling Jaya. Ingin ditegaskan tidak ada sebarang majlis pernikahan pada 14 November seperti dilaporkan media.
“Dalam masa sama, tidak ada majlis pernikahan di Makkah. Di sana kami hanya memberi fokus kepada ibadah umrah. Diakui macam-macam kami dengar sepanjang berada di sana,” katanya dalam sidang media khas di sebuah hotel di Kuala Lumpur, petang tadi.

Pasangan selebriti itu muncul pada sidang media terbabit bagi menunaikan janji sebelum berangkat ke Tanah Suci untuk menjelaskan segala desas-desus mengenai pertunangan dan pernikahan mereka.
Majlis yang diadakan di kediaman nenek Fazura pada 14 November lalu pula, kata Fattah adalah majlis doa selamat sempena pemergian mereka ke Makkah.

Bintang yang popular dengan drama Suri Hati Mr Pilot itu berkata, dia dan Fazura mahu melalui proses perkahwinan yang seperti orang lain termasuklah menghadiri kursus kahwin dan membuat permohonan nikah.

“Insya-Allah, majlis nikah dalam masa terdekat tetapi majlis resepsi tahun depan. Cuma bagi majlis nikah akan berlangsung secara tertutup atas permintaan keluarga. Saya harap semua pihak menghormati keputusan ini.
“Bagaimanapun, untuk majlis resepsi kami akan mengadakan dua majlis, satu untuk peminat dan satu lagi khas untuk keluarga dan rakan media,” katanya.

Pasangan terbabit baru saja kembali dari Makkah, hari ini, selepas lebih seminggu berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah bersama keluarga masing-masing.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini