Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memulakan kempen seni bersama sembilan orang artis Malaysia untuk meraikan Beetle yang ikonik.
DIKENALI sebagai kempen #BeetleInspired, kolaborasi ini melibatkan kreativiti artis-artis tersebut dalam menginterpretasikan Beetle menerusi medium masing-masing. Pelbagai karya seni telah dihasilkan – bermula daripada graffiti, lukisan, kaligrafi, contengan, ilustrasi, pin dan pelbagai bentuk seni lain yang menyerlahkan bakat seni terbaik tempatan.
Sembilan orang artis yang mengambil bahagian dalam kempen #BeetleInspired itu ialah Afiq Afify, Dudude Doodle, Eleanor Lim, Kupeh Rodriguez, Kenji Chai, Pestle & Mortar, Pantun Pins, Shani Ahmed dan Zami Musa.
Artis di seluruh dunia telah menggunakan Beetle sebagai kanvas mereka sejak berdekad-dekad lamanya, dan kita tahu kenapa. Direka oleh Ferdinand Porsche pada tahun 1938, reka bentuk Beetle telah mengalami evolusi. Pada masa sama masih mengekalkan karekter dan reka bentuk tersendiri yang cukup dikenali serta disukai di seluruh dunia.
Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata, “Kami berbesar hati kerana dapat menyediakan platform ini kepada para artis tempatan untuk menunjukkan bakat masing-masing.
“Melihat semua hasil kerja yang diinspirasikan oleh Beetle ini memang mengagumkan. Kami harap akan dapat terus memberi inspirasi kepada orang ramai menerusi kereta dan reka bentuk kami,” katanya.
VPCM juga menganjurkan peraduan #BeetleInspired secara dalam talian bermula sekarang hingga 4 Disember bagi sesiapa yang berminat untuk menghasilkan hasil karya Beetle mereka sendiri.
Para peserta hanya perlu memuat turun satu template kosong Beetle, kemudian hasilkan rekaan berdasarkan kepada inspirasi masing-masing melalui tema peraduan iaitu “Love” (cinta) atau “Fun” (keseronokan).
Para pemenang akan diumumkan pada Disember. Mereka bakal memenangi barangan edisi terhad daripada artis-artis kempen #BeetleInspired seperti kemeja Pestle & Mortar serta pin Beetle yang comel daripada Pantun.
Untuk melihat hasil kerja Beetle daripada semua artis yang terlibat, sila layari Facebook dan Instagram Volkswagen Malaysia. Orang ramai yang ingin mengambil bahagian dalam peraduan #BeetleInspired sila layari laman web: https://www.instagram.com/volkswagenmalaysia/