Sempena ulang tahun ke-25, KULMarathon 2017 disertai lebih 3,000 orang

Malaysia Airports, salah satu kumpulan operator lapangan terbang terbesar dunia dalam pengendalian jumlah penumpang menganjurkan larian KULMarathon 2017 buat pertama kali sempena ulang tahun ke-25.

Lebih 3,000 peserta menyertai larian yang terbahagi kepada empat kategori iaitu 42 kilometer (km), 25 km, 10 km dan 3 km di sepanjang laluan sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports dan Ketua KLIA, Zainol Mohd Isa berkata, pihaknya merancang untuk menjadikan larian marathon ini sebagai acara tahunan setiap bulan November yang bakal menarik peminat marathon dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata, laluan yang digunakan melalui beberapa lokasi penting termasuk mercu tanda pembangunan sekitar KLIA seperti Mitsui Outlet Park dan projek terbaru KLIA Aeropolis DFTZ Park.

Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Badlisham Ghazali berkata, KLIA sudah menjadi hub penyambungan yang penting di rantau ini apabila 70 peratus penumpang adalah penumpang antarabangsa.

“Saya berharap penganjuran marathon ini menyokong penuh kepada usaha mentransformasi KLIA sebagai destinasi penting dan bukan sekadar sebuah lapangan terbang sahaja,” katanya yang hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang larian KULMarathon di sini, hari ini.

Hadir sama menyampaikan hadiah ialah Pengerusi Malaysia Airports, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kassim.

Larian marathon bermula dengan kategori 42 km pada jam 3 pagi diikuti 25 km pada jam 4.30 pagi, 10 km pada jam 6.30 pagi dan 3 km pada jam 7 pagi. Masa yang diberikan untuk larian sejauh 42 km ialah 7 jam manakala 25 km (4jam), 10 km (2 jam 30 minit) dan 3 km selama 1 jam.

Mari sama-sama kita saksikan gambar-gambar menarik yang sempat dirakam Prebiu.com pada larian KULMarathon 2017 yang berlangsung cukup meriah pagi ini.

 

 

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini