ANDA seorang peminat atau pengumpul tegar setem, jangan lepaskan peluang mendapatkan koleksi terbaru Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dengan edisi kedua setem bertemakan “Destinasi Pelancongan” yang menampilkan destinasi-destinasi pelancongan popular di Pahang, Perak dan Terengganu, pada 21 November ini.

Antara destinasi popular yang dicetak pada helaian setem ialah Istana Abu Bakar (Pahang), Bukit Fraser (Pahang), Menara Condong Teluk Intan (Perak), Pulau Pangkor (Perak), Masjid Kristal (Terengganu), Muzium Negeri Terengganu dan beberapa destinasi pelancongan popular di setiap negeri.

Untuk edisi kali ini, hanya terdapat 280,000 keping bagi setiap setem se-tenant dikeluarkan dan tidak ada cetakan semula akan dilakukan.

Selain daripada tiga setem se-tenant, produk filateli lain iaitu Sampul Surat Hari Pertama 32,000 keping dan folder 1,800 keping turut dikeluarkan dengan masing-masing dijual pada harga 55 sen dan RM6.35.

Di samping itu, tanda pembatalan siri setem atau cop pula menampilkan tiga peralatan pelancongan yang penting iaitu kamera, gogal dan teropong.

Justeru, bagi anda yang minat mengumpul setem atau ingin memiliki edisi khas sempena Tahun Melawat Pahang, Perak dan Terengganu 2017, jangan lepaskan peluang memperoleh koleksi menarik ini pada hari Selasa depan di mana-mana cawangan pejabat pos Malaysia.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini