Datuk Jalaluddin Hassan hadiah isteri kerusi urut bernilai RM20,000

“ALHAMDULILLAH, majlis dirancang berjalan lancar. Saya sebak sebab tanggungjawab sebagai suami bukan sesuatu yang mudah. Jadi, saya berharap semoga perkahwinan ini dipermudahkan dan dirahmati Allah.

“Terima kasih kepada semua anak-anak dan saudara yang banyak membantu melancarkan lagi perjalanan majlis,” kata pelakon veteran Datuk Jalaluddin Hassan, 63, yang selamat melangsungkan perkahwinan dengan wanita pilihannya, Rapidah Abdul Ghani, 44, dengan sekali lafaz.

Pasangan itu dinikahkan oleh abang sulung Rapidah iaitu Lokman Ghani dengan disaksikan Penolong Pendaftar Nikah dan Imam Masjid Bandar Tun Hussien Onn Cheras, Mohd Faisal Mohd Noor.

Pada majlis yang diadakan di Masjid Bandar Tun Hussein Onn Cheras itu, Jalaluddin menyerahkan mas kahwin RM300, wang hantaran RM12,000 berserta lima dulang dan dibalas tujuh dulang daripada pihak perempuan.

Rapidah yang juga ibu tunggal anak empat serta enam cucu turut menerima kerusi urut bernilai RM20,000 daripada pihak lelaki.

Jalaluddin berkata, dia menerima tanggungjawab baru ini dan mengharapkan perkahwinan dibina berkekalan sehingga ke jannah.

Majlis itu dihadiri lebih 100 tetamu daripada keluarga kedua belah pihak serta rakan taulan.

Sebelum ini, pelakon itu mendedahkan akan berkahwin dengan ibu tunggal yang dikenali menerusi laman sosial Facebook selepas setahun pemergian isteri, Hashimah Aksan akibat komplikasi jantung pada 5 November tahun lalu.

Hasil perkahwinan dengan allahyarham Hashimah selama 40 tahun, mereka dikurniakan lapan anak dan 14 cucu.

Turut hadir pada majlis itu, pelakon Ashraf Muslim yang juga anak saudara pengantin perempuan.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini