Perodua, bersama-sama dengan ekosistem automotifnya, telah melakukan perubahan dalam kandungan tempatan yang membawa kepada kecekapan yang lebih baik terhadap kenderaan
bateri elektrik (BEV) pertama keluaran syarikat itu.

“Perodua dan vendor-vendor tempatan telah berjaya mengeluarkan komponen alat ganti dalam jumlah yang signifikan, dan ini bermakna kami boleh terus melindungi pekerjaan tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi dan bekalan rantaian asing,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

“Perkembangan ini penting kerana kami kini boleh menyimpan inventori komponen alat ganti yang lebih besar – terutamanya bahagian badan kenderaan – untuk memastikan pelanggan boleh bergantung kepada alat ganti yang sudah tersedia di peringkat domestik apabila diperlukan,” katanya.

Perodua juga telah berjaya meningkatkan pengeluaran kepada lebih 500 unit sebulan.

“Peningkatan dalam kandungan tempatan itu juga membolehkan kami mengoptimumkan operasi, dan kami kini mahu berkongsi manfaat tersebut dengan pelanggan yang dihargai,” katanya.

“Harga baharu QV-E untuk pemilikan penuh adalah RM93,999 atau RM69,999 menerusi pakej Battery as a Service (BAAS) dengan tambahan bayaran bulanan sebanyak RM215 (termasuk cukai) selama 9 tahun.

“Bagaimanapun, kami memperkenalkan harga khas untuk tempoh terhad (berkuatkuasa serta merta) bagi membantu pengguna yang berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh terhad itu, Perodua menawarkan harga khas sebanyak RM87,499 untuk pemilikan penuh QV-E atau RM63,499 menerusi pakej BAAS dengan bayaran bulanan sebanyak RM215 (termasuk cukai) selama 9 tahun. Tawaran ini akan berakhir 30
September 2026.

Pakej BAAS menawarkan pakej bateri EV yang komprehensif merangkumi perlindungan untuk bateri, penghapusan dan penggantian serta insurans bateri sepanjang tempoh sewaan 9 tahun.

BAAS ditawarkan untuk memberi ketenangan kepada pelanggan dengan menyerahkan kepada Perodua untuk menguruskan sepenuhnya bateri EV mereka sepanjang tempoh sewaan tersebut.

“Bagi mereka yang mahu membeli QV-E secara pemilikan penuh, Perodua turut menawarkan pembelian bateri apabila sudah sampai masa untuk ia dihapuskan,” katanya.

QV-E yang memperoleh penarafan 5 bintang dari ASEAN-NCAP menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate (52.5kW) dengan julat perjalanan sehingga 445 kilometer (NEDC) bergantung kepada cara pemanduan, suhu dan keadaan jalan.

QV-E sesuai digunakan untuk pemanduan sederhana dan jauh tanpa kerap dicas, yang mana ia boleh memanjangkan jangka hayat bateri.

Sementara itu, bagi pelanggan sedia ada QV-E, mereka akan mendapat pulangan wang khas dan penasihat jualan Perodua akan menghubungi mereka secepat mungkin.

Beliau berkata, mereka bakal menikmati pengurangan komitmen bulanan BAAS kepada RM215 sebulan daripada RM275 sebelum ini. Bayaran baharu ini akan berkuatkuasa untuk tempoh pembayaran seterusnya.

“Kami mengalu-alukan rakyat Malaysia untuk memuat turun super app P-Circle kami untuk menempah QV-E atau kunjungi bilik pameran berdaftar kami di seluruh negara untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai tawaran ini,” katanya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini