Pasaran telefon pintar boleh lipat kini semakin matang, tetapi HONOR nampaknya mahu membawa kategori ini ke tahap lebih ekstrem menerusi pengenalan HONOR Magic V6.

Dalam sesi pra tonton yang diadakan baru-baru ini, HONOR bukan sahaja memperlihatkan reka bentuk peranti, malah turut menguji tahap ketahanan telefon ini dengan demonstrasi yang agak luar biasa.

Sebaik sahaja kotak HONOR Magic V6 dibuka, pengalaman pertama yang dirasai ialah pendekatan premium yang cuba diketengahkan HONOR. Kotaknya tampil kemas dengan aksesori asas yang masih dikekalkan, sesuatu yang semakin jarang dilihat pada telefon premium masa kini.

REKAAN

Rekaan yang sangat nipis menjadikan ia terasa lebih seperti telefon flagship biasa berbanding sebuah telefon boleh lipat. HONOR mengatakan Magic V6 hadir dengan ketebalan hanya 4.0mm ketika dibuka dan 8.75mm apabila dilipat sekali gus meletakkannya antara telefon lipat ternipis di pasaran ketika ini.

Sebaik sahaja dipegang, perkara pertama yang terus mencuri perhatian ialah betapa nipisnya Magic V6. Ini menyebabkan pengalaman memegangnya terasa sangat berbeza berbanding kebanyakan foldable lain yang biasanya tebal dan berat.

Magic V6 terasa lebih dekat dengan sebuah telefon premium konvensional, bukannya peranti eksperimen teknologi dan secara jujurnya, inilah antara perkara paling penting untuk masa depan telefon jenis ini. Pengguna masa kini tidak mahu telefon yang terasa seperti membawa dua peranti sekali gus dalam poket.

Selepas beberapa tahun pasaran telefon boleh lipat berkembang, satu persoalan masih belum benar-benar terjawab adakah peranti ini sudah cukup tahan untuk digunakan sebagai telefon harian utama?

Kebanyakan pengeluar sebelum ini memberi fokus kepada reka bentuk premium dan inovasi skrin, tetapi ramai pengguna masih skeptikal terhadap isu ketahanan engsel, skrin mudah rosak dan jangka hayat penggunaan jangka panjang.

Menerusi pengenalan terbaharu HONOR Magic V6, HONOR nampaknya cuba mengubah persepsi tersebut dengan meletakkan ketahanan sebagai fokus utama peranti ini.

Dalam sesi pengenalan kepada media yang berlangsung baru-baru ini, HONOR bukan sahaja memperlihatkan rekaan peranti, malah turut melakukan beberapa demonstrasi ekstrem bagi menunjukkan tahap ketahanan Magic V6.

KETAHANAN

Apa yang membezakan Magic V6 berbanding peranti lain ialah pendekatan HONOR yang memberi penekanan besar terhadap aspek ketahanan. Dalam demonstrasi yang dilakukan, Magic V6 digunakan untuk menarik sebuah pesawat Diamond DA42 Twin Star seberat 1.25 tan sejauh 150 meter.

Selain itu, telefon ini turut digunakan untuk menarik sebuah Ferrari dan dijadikan sebagai pull-up bar bagi menguji kekuatan struktur engselnya. Demonstrasi tersebut dilakukan bagi membuktikan kemampuan teknologi “HONOR Super Steel Hinge” yang digunakan pada Magic V6.

Menurut HONOR, engsel ini mempunyai kekuatan tegangan sehingga 2800MPa iaitu hampir dua kali ganda lebih kuat berbanding pillar-A pada sebuah kereta.

Malah, engsel ini turut diuji sehingga 500,000 kali lipatan yang dianggarkan bersamaan sekitar 13 tahun penggunaan harian biasa. Dalam penggunaan sebenar, ini merupakan aspek penting kerana isu engsel sering menjadi kebimbangan utama pengguna peranti boleh lipat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

PERLINDUNGAN SKRIN DIPERTINGKAT

Selain engsel, HONOR turut menambah baik sistem perlindungan skrin pada Magic V6. Skrin luar menggunakan teknologi baharu HONOR Anti-Scratch Nano Crystal Shield dengan salutan silikon nitrida 5,600 lapisan. HONOR mendakwa teknologi ini menawarkan ketahanan jika terjatuh, tahan calar dan kalis air serta habuk.

Malah, dalam demonstrasi yang diperlihatkan kepada media, skrin luar Magic V6 diuji menggunakan wire brush drill bagi melihat tahap ketahanan terhadap calar dan kerosakan fizikal. Untuk skrin dalaman pula, HONOR menggunakan lapisan Ultra-Thin Glass (UTG) fleksibel yang dikatakan mampu mengurangkan kesan lipatan pada skrin selain meningkatkan ketahanan impak.

Magic V6 juga menjadi antara foldable terawal yang hadir dengan penarafan IP68 dan IP69 untuk ketahanan air dan habuk sesuatu yang masih jarang ditawarkan pada telefon boleh lipat ketika ini.

Meskipun masih banyak spesifikasi belum didedahkan mengenai peranti ini, dalam artikel pandang pertama ini hala tuju HONOR untuk Magic V6 sudah cukup jelas iaitu mereka mahu menghasilkan foldable yang bukan sahaja nipis dan premium, tetapi cukup tahan untuk dijadikan telefon harian tanpa kompromi besar terhadap ketahanan.

KAMERA

Peranti ini turut dipadankan dengan fungsi pintar Kecerdasan Buatan (AI) terbina bagi fungsi kamera AI Matrix yang boleh menghasilkan gambar potret dengan kualiti dan penghasilan sama bagaikan di studio sebagaimana ciri pada model HONOR Magic V3 dan V5 sebelum ini.

Tentu sekali gambar yang terhasil dengan ciri studio menjadi idaman mana-mana pengemar fotografi yang tidak mampu memiliki kamera jenis DSLR dan bergantung sepenuhnya kepada peranti seperti telefon pintar.

Ini kerana keupayaan telefon pintar keluaran China ini sudah cukup hebat untuk menterjemahkan keupayaan sebenarnya kerana ia dilengkapi dengan fungsi Professional Harcourt Portrait Mode.

PILIHAN WARNA

Kehadiran peranti terbaharu ini membuktikan, HONOR begitu serius dalam menghasilkan produk yang inovatif, kekemasan, ketahanan, praktikaliti dan premium. Daripada segi kekemasan, HONOR turut memperkenalkan empat pilihan warna iaitu Ferghana Red, Ivory White, Sunrise Gold dan Classic Black.

Varian Ferghana Red khususnya tampil lebih premium dengan kemasan yang memberi identiti tersendiri berbanding kebanyakan telefon lipat lain di pasaran ketika ini.

Kotak pembungkusan pula mengekalkan pengalaman premium standard flagship moden dengan aksesori asas yang masih disertakan bersama peranti.

APA DALAM KOTAK

    • 1x HONOR Magic V6
    • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C
    • 1x Kepala Pengecas Pantas 80W
    • 1x Kerangka Telefon
    • 1x Pin SIM
    • 1x Manual

* Nantikan ulasan lebih mendalam HONOR Magic V6 

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini