Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) terus mempergiat usaha libat urus bersama peserta industri menjelang pelaksanaan proses kebenaran beroperasi di bawah Akta Kredit Pengguna 2025 (AKP) yang merangkumi pelesenan dan pendaftaran.

Pelaksanaan ini merupakan langkah penting dalam mewujudkan rangka kerja kawal selia yang lebih tersusun bagi penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit bukan bank.

Sejajar dengan usaha tersebut, SKP akan menganjurkan Sesi Taklimat Industri pada 18 dan 19 Mei 2026. Sesi ini bertujuan membantu industri kredit yang sebelum ini tidak tertakluk di bawah mana-mana kawal selia khusus untuk memahami keperluan yang ditetapkan serta membuat persediaan awal bagi memastikan pematuhan menjelang pelaksanaan kebenaran beroperasi pada Jun nanti.

Di bawah Fasa 1 pelaksanaan Akta ini, enam aktiviti perniagaan akan berada dalam skop kawal selia iaitu skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL), pemfaktoran, pajakan, kutipan hutang, pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas, serta kaunseling dan pengurusan hutang.

Peserta industri yang telah dikenal pasti menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut akan dihubungi secara terus oleh pihak SKP untuk menyertai sesi taklimat ini. Pada masa yang sama, mana-mana pihak yang berkemungkinan tertakluk di bawah Akta ini, tetapi masih belum dikenal pasti, disaran untuk tampil mendaftarkan minat menerusi laman web rasmi www.skp.gov.my.

Ini bagi membolehkan mereka turut serta dalam sesi taklimat dan proses persediaan kawal selia yang sedang dilaksanakan oleh SKP. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SKP untuk memastikan proses peralihan ke arah pelaksanaan kebenaran beroperasi berjalan secara lancar dan teratur.

Akta Kredit Pengguna serta penubuhan SKP merupakan sebahagian dari agenda reformasi Kerajaan dalam memperkukuh ekosistem kredit pengguna yang lebih telus, bertanggungjawab dan inklusif.

Rangka kerja kawal selia ini juga bertujuan meningkatkan perlindungan serta pemerkasaan pengguna kredit, di samping menyediakan garis panduan yang jelas dan keseragaman kawal selia kepada pemain industri untuk beroperasi secara lebih profesional dan bertanggungjawab.

Pengerusi Eksekutif SKP, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, fokus utama SKP adalah untuk memastikan semua peserta industri yang berkaitan memahami tanggungjawab mereka di bawah AKP dan bersedia menghadapi pelaksanaan rangka kerja kawal selia baharu tersebut.

“Penglibatan awal dan secara berterusan bersama industri akan membantu memastikan proses peralihan berjalan dengan lancar serta menyokong pembangunan industri kredit pengguna yang lebih telus dan berintegriti.

“SKP komited dalam membangunkan ekosistem yang berteraskan standard pelakuan yang tinggi, di samping memastikan rangka kerja kawal selia yang seimbang bagi menyokong pertumbuhan mampan serta inovasi yang bertanggungjawab.” katanya.

Keperluan pelesenan dan pendaftaran di bawah Akta ini akan mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2026 dengan tempoh peralihan selama enam bulan diberikan kepada pemain industri untuk mengemukakan permohonan lesen atau pendaftaran yang berkaitan. Kegagalan mematuhi keperluan tersebut boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan diambil oleh SKP.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini