Berpegang pada visi untuk memacu daya saing Bumiputera di peringkat global, Yayasan Peneraju (YP), sebuah agensi di bawah Kementerian Ekonomi, meraikan ulang tahunnya yang ke-14 dengan mengadakan kempen khas bagi bakat dan alumni profesionalnya.
Sempena dengan mercu jaya ini, YP memperkenalkan rebat yuran keahlian Institut Akauntan Malaysia (MIA) untuk membantu profesional perakaunan membayar yuran keahlian tahunan mereka.
Rebat ini disediakan untuk alumni layak yang masih mempunyai bayaran balik tertunggak dengan YP, dengan pemohon yang berjaya akan menerima sehingga RM850 untuk keahlian tahun 2026, yang akan ditolak daripada baki tertunggak mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani, mengulas, “MIA ialah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Akauntan 1967 untuk mengawal selia dan membangunkan profesion perakaunan di Malaysia.
MIA juga menganugerahkan tauliah Akauntan Berkanun (Malaysia), satu pencapaian profesional yang diiktiraf dalam bidang perakaunan. Menerusi rebat yuran yang akan diperkenalkan pada tahun ini, kami menggalakkan bakat dan alumni YP dalam profesion ini untuk mengambil langkah seterusnya ke arah mencapai CA (Malaysia) dan mengukuhkan kedudukan profesional masing-masing.”
“Inisiatif ini diwujudkan bagi menangani halangan praktikal pada fasa penting dalam pembangunan kerjaya seorang akauntan, sekali gus membolehkan bakat perakaunan Bumiputera melangkah ke peringkat seterusnya dengan lebih yakin serta terus kekal
relevan dan bernilai di mata majikan.
Pada masa yang sama, inisiatif ini turut memupuk amalan pembayaran balik yang bertanggungjawab, sekali gus membolehkan dana digunakan semula untuk menyediakan pembiayaan baharu dan membuka peluang kepada generasi bakat Bumiputera seterusnya,”
Untuk melayakkan diri, pemohon mesti memenuhi dua set kriteria. Pertama, pemohon mesti memenuhi syarat kelayakan MIA bagi kelayakan CA (Malaysia). Kedua, pemohon mesti memenuhi kriteria rebat YP dengan mencapai syarat pembayaran balik minimum, sama ada bayaran balik minimum 30% atau bayaran awal RM2,000. Rebat ini terhad kepada satu (1) permohonan sahaja bagi setiap pemohon pada tahun 2026.





































