Kembali ke Arena of Stars di Resorts World Genting, Malaysia, kejohanan ini menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah US$400,000 dan aksi Dota 2 bertaraf dunia.

Syarikat e-sukan terkemuka di dunia, ESL Gaming, hari ini mengumumkan kejohanan ESL One Malaysia 2022 yang dikuasakan oleh Intel®yang akan berlangsung pada 23 –28 Ogos.

Peringkat akhir kejohanan ini akan diadakan secara langsung di depan penonton di Arena of Stars di Resorts World Genting, Malaysia. Acara ini menandakan kejohanan pertama Dota 2 dengan kehadiran penonton di Asia Tenggara sejak lewat 2019 dan kembalinya ESL One ke rantau ini sejak ESL One Genting 2018.

Kejohanan ini tidak terikat kepada Dota Pro Circuit (DPC) dan membolehkan pemain untuk mengasah kemahiran sebelum memasuki The International (TI) 11 sambil memperoleh sebahagian daripada jumlah hadiah bernilai US$400,000 itu.

Bermula pada 23 Ogos, peringkat kumpulan akan menampilkan 12 pasukan Dota 2 terbaik dunia yang akan berentap dalam format ‘best-of-two round-robin’. Bersaing dalam persekitaran LAN, mereka akan berentap untuk satu daripada lapan tempat yang tersedia untuk peringkat playoff.

Kemudian, pemain akan bermain dalam format ‘best-of-three’ yang menyaksikan penyingkiran berganda, dengan peringkat akhir ditentukan secara ‘best-of-five’. Peringkat playoff akan diadakan secara langsung di depan penonton di Arena of Stars di Resorts World Genting, Malaysia.

“Semasa kami menganjurkan ESL one di Genting pada 2017 dan 2018, kehadiran para peminat berjaya membawa atmosfera yang menakjubkan dan lokasi itu telah mengekalkan perasaan yang istimewa di hati kami,” kata Artem Bykov, Pengurus Besar Pengurusan Permainan di ESL Gaming.

“Mengembalikan dunia Dota 2 ke Arena of Stars merupakan peluang yang baik dan kami berbesar hati dapat menjemput semua ke satu lagi pengalaman e-sukan yang hebat.””E-sukan di serata Asia Tenggara menyaksikan pertumbuhan pesat secara online sejak dua tahun lalu, ketika acara langsung tidak boleh diadakan di rantau itu,” kata Nick Vanzetti, Timbalan Presiden Kanan ESL Gaming Asia Pasifik-Jepun.

“Ia sangat mengujakan bagi pihak kami kerana akhirnya berjaya menawarkan peminat di rantau ini keupayaan untuk berhubung secara fizikal semula, ketika kita kembali kepada acara e-sukan berskala stadium dengan ESL One Malaysia.”

“Kami berbesar hati dapat menjadi tuan rumah untuk kepulangan ESL One, kejohanan yang sangat dinanti-nantikan peminat e-sukan di rantau ini,” kata Roger Ong, Penolong Naib Presiden Hiburan & Acara Resorts World Genting.

“Arena of Stars telah menjadi lokasi ikonik untuk acara terkemuka sejak penubuhannya dan peminat ESL One pastinya boleh menantikan kejohanan kemunculan semula yang menakjubkan.”

Jualan tiket untuk ESL One Malaysia 2022 bermula pada Jumaat, 10 Jun pukul 3 petang waktu Malaysia. Pelbagai jenis tiket harian dan mingguan tersedia dengan harga antara RM69 dan RM399.