Parti UMNO sentiasa mendepani dengan saat paling getir dalam perjuangan. Pastinya bukan sekadar bersetia dan berkhidmat, ia harus bermula dengan bersatu.

Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, kata bijak pandai, kota yang besar bukan roboh kerana gagahnya armada musuh, sebaliknya ditebuk dari dalam secara diam dan terang.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang berkata, Wanita UMNO Pulau Pinang memandang tindakan segelintir dari kita yang mengeluarkan kecaman, kata nista melalui media sosial dan kain rentang terhadap pengunduran Presiden UMNO sebagai tindakan membunuh parti secara terang.

“Sekalipun tepian tetap akan berganjak apabila air gedang, namun ia bukanlah alasan untuk kita biadap dalam berjuang. UMNO lahir dari jiwa pendukungnya yang besar. Janganlah hanya kerana ujian yang kita lalui hari ini menjadikan pemikiran dan jiwa kita semakin sempit dan mengecil.

“Sekalipun kita berbeza pendapat tapi janganlah beralas dengki dan hasad. Berhujahlah dalam gelanggang dengan hati yang lapang. Menegurlah dengan matang. Bertikam lidah takkan membenam gundah. Matanglah mengendalikan situasi. Saat ini parti memerluan ahli yang setia, teguh dan bijaksana dalam bertindak.

“Wanita UMNO Pulau Pinang tetap bersama parti berdiri teguh pada saat apapun. Menghormati institusi presiden dan menyantuninya atas prinsip muafakat dan pembelaan bangsa Melayu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluakan hari ini.

Norliza yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia mahu sokongan kepada parti diberikan dari tiang, alang hinggalah atapnya.

“Berhentilah membiakkan barah. Orang luar mungkin mahu melihat UMNO ini terkubur. Maka janganlah kita yang di dalamnya pula yang sibuk menyiapkan kapan dan kerandanya. UMNO tidak sekali-kali akan terkubur,” katanya lagi.