Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV), dalam satu kenyataan, telah mengumumkan bahawa sepuluh (10) syarikat pemula teknologi akan menjadi kumpulan pertama yang akan menerima pembiayaan terkumpul (cumulative financing) berjumlah RM13.75 juta di bawah program Technology Start-Ups Funding Relief Facility (TSFRF) kendalian MDV.

Syarikat-syarikat yang terlibat termasuklah Superceed (M) Sdn Bhd, Duchess Mercantiles Sdn Bhd, Naluri Hidup Sdn Bhd, Enlinea Sdn Bhd, Mobi Asia Sdn Bhd, Sbunny Group Sdn Bhd, Voltron Malaysia Sdn Bhd, Soft Solvers Sdn Bhd, Cidekick Sdn Bhd and Pixelbyte Sdn Bhd, yang mana masing-masing akan menerima jumlah pembiayaan di antara RM200,000 sehingga RM2.50 juta.

Syarikat-syarikat tersebut adalah antara enam puluh enam (66) syarikat pemula teknologi yang telah dinilai dan diperakukan oleh jawatankuasa pra-saringan bagi program ini daripada sejumlah 142 permohonan yang diterima sepanjang fasiliti ini diperkenalkan.

Jawatankuasa pra-saringan tersebut terdiri daripada wakil-wakil MDV, Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC), Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP) dan Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle).

Pengerusi MDV, Khairul Azwan Harun dalam kenyataannya, menzahirkan rasa gembira di atas sambutan yang menggalakkan daripada syarikat-syarikat pemula teknologi yang berminat untuk meneroka peluang pembiayaan di bawah program TSFRF ini.

“MDV telah diberi kepercayaan oleh Kerajaan bagi membantu syarikat-syarikat pemula teknologi yang terjejas akibat daripada penularan wabak COVID-19 melalui program TSFRF ini.

Oleh itu, MDV akan memastikan yang kami akan dapat memenuhi mandat ini dengan terus memberikan bantuan aliran tunai segera, berpatutan dan bersasar kepada syarikat-syarikat pemula teknologi yang terkesan oleh keadaan ekonomi semasa dan sedang menghadapi kekangan kewangan, dalam memastikan pemerkasaan, pemulihan serta perkembangan mereka yang berterusan dalam tempoh yang mencabar ini.”

Azwan berkata, adalah penting bagi syarikat-syarikat pemula teknologi Malaysia untuk terus membangun dan berkembang di peringkat serantau dan global selain terus menyumbang kepada sektor teknologi serta menyokong pembangunan syarikat-syarikat pemula yang lain.

Ini adalah bagi memastikan bahawa dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini sekalipun, ekosistem syarikat-syarikat pemula di Malaysia masih dapat terus berkembang, sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai salah satu hub syarikat-syarikat pemula yang terkemuka di rantau ini.

Mengulas lanjut berkenaan program TSFRF ini, Nizam Mohamed Nadzri, Ketua Pegawai Eksekutif MDV berkata bahawa setakat ini, sebanyak dua puluh tujuh (27) permohonan bagi program tersebut telah diluluskan oleh lembaga pembiayaan MDV dengan nilai keseluruhan berjumlah RM34.05 juta.

Daripada jumlah kelulusan tersebut, sepuluh (10) syarikat telah mengesahkan penerimaan pembiayaan yang ditawarkan.

“Pembiayaan yang ditawarkan MDV melalui program TSFRF ini mampu membantu syarikat-syarikat ini dengan menyediakan aliran tunai yang diperlukan untuk modal kerja mereka, terutamanya dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar yang dihadapi perniagaan terutamanya syarikat-syarikat pemula yang lebih terdedah kepada penurunan pendapatan yang mengganggu aliran tunai mereka,” jelas Nizam.

TSFRF telah diperkenalkan oleh MDV dengan sokongan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kewangan (MOF) dengan menawarkan dana sehingga RM100.00 juta bagi syarikat pemula teknologi yang disokong oleh syarikat modal teroka atau agensi kerajaan, yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

Kemudahan ini ditawarkan dengan kadar faedah sebanyak 3.5% setahun ke atas jumlah pinjaman tertunggak. Sama seperti kemudahan kredit pusingan, di bawah program pembiayaan TSFRF ini, pengeluaran boleh dipohon mengikut permintaan atau berdasarkan keperluan aliran tunai bergulir selama 6 bulan bagi setiap pemohon.

Baki prinsipal tertunggak boleh dibawa ke 6 bulan berikutnya, memberikan fleksibiliti dalam menguruskan pembayaran balik.

Untuk maklumat lanjut berhubung program TSFRF, sila layari laman web MDV di www.mdv.com.my.