CARSOME Academy mengumumkan pelancaran Pusat Pemeriksaan M.V.15 pertama di Malaysia yang berteraskan institusi akademi di Sungai Buloh. Pelancaran ini menandakan satu langkah penting ke arah memperkukuh piawaian pemeriksaan kenderaan dan pembangunan bakat automotif di Malaysia.
Pusat berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia (MoT), Anthony Loke Siew Fook, sekali gus menegaskan kepentingan memperkukuh kualiti pemeriksaan dan melahirkan tenaga kerja automotif berkemahiran bagi menyokong landskap mobiliti Malaysia yang terus berkembang.
Kemudahan baharu ini menggabungkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan profesional dan latihan automotif di bawah satu bumbung.
Diberikan kebenaran untuk menjalankan pemeriksaan pertukaran hak milik kenderaan, pusat ini mengintegrasikan operasi pemeriksaannya dengan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) CARSOME Academy, sekali gus membuka peluang untuk membangunkan tenaga kerja automotif yang berkemahiran serta bersedia untuk memenuhi keperluan industri.
Sebagai satu-satunya penyedia pemeriksaan M.V.15 yang disokong oleh institusi latihan automotif khas, pusat ini meletakkan kecekapan pemeriksa sebagai teras operasinya.

Semua pemeriksaan dijalankan berlandaskan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan, dengan pemeriksa yang diiktiraf di bawah Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam Pemeriksaan Kenderaan Bermotor.
Pengiktirafan ini membekalkan pemeriksa dengan kemahiran teknikal dan keupayaan praktikal yang melebihi keperluan lesen minimum. Pelancaran ini berasaskan pengalaman luas CARSOME dalam pemeriksaan kenderaan dan proses pertukaran hak milik.
Selama lebih sedekad, syarikat ini secara konsisten mencapai kadar kelulusan kali pertama sebanyak 99% bagi kenderaan yang menjalani pemeriksaan mengikut syarat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Rekod prestasi ini mencerminkan kecemerlangan proses pemeriksaan, kepakaran teknikal dan piawaian CARSOME yang kini menjadi asas kepada Pusat Pemeriksaan M.V.15 Sungai Buloh.




































