Alliance Islamic Bank (AIS) mahu memperluas keberkesanan Program Pembiayaan Mikro Zakat Alliance Islamic Bank (AZAM) kepada lebih ramai usahawan asnaf dengan meningkatkan saiz dana untuk program tersebut.

Sejak diperkenalkan pada 2023, AZAM telah membantu usahawan asnaf membina perniagaan dan sumber pendapatan yang lebih mampan. Sejurus itu, AIS menjemput pembayar zakat di Selangor untuk menyalurkan zakat wakalah mereka ke program AZAM.

Kutipan zakat di Malaysia telah meningkat daripada RM3.8 bilion pada tahun 2021 kepada RM5.3 bilion pada tahun 2025, mewakili Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkumpul (CAGR) sebanyak 8.72 peratus.

Sebahagian besarnya disalurkan sebagai bantuan segera kepada lapan golongan asnaf dan hanya sebahagian kecil mengalir sebagai pembiayaan berstruktur kepada usahawan asnaf. Ini menunjukkan peluang besar untuk menggerakkan lebih banyak dana zakat bagi membantu usahawan asnaf membina sumber pendapatan sendiri.

Sehubungan itu, AIS menyasarkan tambahan dana zakat sebanyak RM3.45 juta menjelang Mac 2027 untuk AZAM. Dengan tambahan dana ini, AZAM dijangka dapat memperluaskan pembiayaan kepada kira-kira 690 usahawan asnaf.

Setakat ini, AIS telah menyalurkan RM975,000 dalam dana zakat wakalah ke program AZAM sejak diperkenalkan pada 2023. Dengan sasaran sumbangan dana zakat sebanyak RM3.45 juta, jumlah keseluruhan dana bagi AZAM dijangka akan meningkat kepada RM4.425 juta.

AZAM merupakan program pembiayaan mikro berasaskan zakat yang menyediakan pembiayaan perniagaan tanpa caj keuntungan kepada usahawan asnaf, disertai latihan dan bimbingan bagi membantu mereka membina perniagaan dan menjana pendapatan sendiri.

Dana yang dibayar balik oleh peserta akan disalurkan semula kepada usahawan asnaf yang lain, membolehkan dana zakat dimanfaatkan secara berterusan.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini