Samsung meneruskan evolusi siri Galaxy Buds menerusi Galaxy Buds4 Pro, fon telinga tanpa wayar premium generasi baharu yang membawa peningkatan ketara daripada segi reka bentuk, kualiti audio, Active Noise Cancellation (ANC), kawalan pintar dan integrasi dengan ekosistem Galaxy.
Diperkenalkan bersama generasi baharu peranti Galaxy, Galaxy Buds4 Pro bukan sekadar aksesori untuk mendengar muzik. Samsung mahu menjadikannya sebahagian daripada pengalaman Galaxy dengan menggabungkan audio Hi-Fi, kecerdasan buatan (AI), kawalan bebas tangan dan ciri pintar yang boleh digunakan dalam situasi harian.
Berbanding Galaxy Buds4 biasa, model Pro hadir dengan konfigurasi audio yang lebih serius, reka bentuk canal-fit serta beberapa ciri tambahan yang tidak ditawarkan pada model asas.
Rekaan Lebih Premium
Perubahan pertama yang mudah dilihat pada Galaxy Buds4 Pro ialah reka bentuknya. Samsung memperkenalkan identiti baharu berasaskan metal blade yang bukan sahaja memberikan penampilan lebih premium, malah menjadi sebahagian daripada sistem kawalan pada earbud.
Berbeza daripada Galaxy Buds4 yang menggunakan reka bentuk open-fit, Galaxy Buds4 Pro menggunakan canal-fit design dengan silikon eartips. Reka bentuk ini membantu menghasilkan padanan yang lebih rapat pada telinga dan pada masa sama menyokong pengalaman audio serta ANC yang lebih imersif.
Samsung turut menggunakan pendekatan luar biasa untuk menghasilkan bentuk earbud yang lebih ergonomik. Reka bentuk ini dibangunkan berdasarkan data telinga pengguna dan pelbagai simulasi bagi mendapatkan keseimbangan antara kestabilan dan keselesaan.
Setiap earbud mempunyai berat sekitar 5.1 gram, manakala kotak pengecas pula sekitar 44.3 gram dengan eartip saiz M. Walaupun sedikit lebih berat berbanding Galaxy Buds4, ia masih cukup ringan untuk digunakan dalam tempoh yang panjang.
Charging case pula tampil dengan reka bentuk kompak dan penutup jenis lutsinar yang membolehkan pengguna melihat kedudukan kedua-dua earbud dengan lebih mudah. Nampak ohsem!
Galaxy Buds4 Pro ditawarkan dalam warna Black dan White, selain Pink Gold yang tersedia secara eksklusif melalui Samsung.com di pasaran tertentu.
Audio Hi-Fi Dengan Speaker 2-Way
Jika reka bentuk ialah perubahan pertama yang dapat dilihat, sistem audio pula merupakan antara peningkatan paling besar pada Galaxy Buds4 Pro.
Samsung menggunakan Enhanced 2-way Speaker yang menggabungkan woofer lebih lebar bersama tweeter untuk menghasilkan julat bunyi yang lebih lengkap. Konfigurasi ini berbeza daripada Galaxy Buds4 biasa yang menggunakan speaker satu hala.
Woofer baharu Galaxy Buds4 Pro juga mempunyai kawasan diafragma efektif hampir 20 peratus lebih besar berbanding generasi terdahulu, membolehkan penghasilan bass yang lebih berisi tanpa mengorbankan saiz dan keselesaan earbud.
Samsung turut melengkapkannya dengan Dual Amplifier, iaitu amplifier khusus untuk setiap driver. Pendekatan ini membantu mengurangkan gangguan antara julat frekuensi dan membolehkan setiap driver mengendalikan bunyi dengan lebih tepat.
Hasilnya, ketika peranti ini diuji karakter bunyinya yang lebih seimbang dengan bass lebih mendalam serta high yang lebih jelas menjadikan muzik dimainkan benar-benar memberikan keseronokan.
Bagi pengguna Galaxy yang mempunyai peranti serasi, Galaxy Buds4 Pro turut menyokong Samsung Seamless Codec (SSC) sehingga 24-bit/96kHz melalui ciri Ultra High Quality Audio.
Namun, seperti biasa, sokongan audio 24-bit/96kHz bergantung kepada model peranti Galaxy, versi One UI dan aplikasi yang digunakan. Pengguna juga boleh menggunakan Adaptive EQ yang melaraskan karakter audio berdasarkan bentuk telinga dan cara earbud dipakai. Jika mahu lebih kawalan, Samsung menyediakan 9-Band Equalizer untuk membolehkan pengguna menyesuaikan bunyi mengikut citarasa sendiri.
ANC Lebih Pintar
Galaxy Buds4 Pro turut membawa Active Noise Cancellation, Adaptive ANC dan Adaptive Noise Control yang menjadi antara fungsi utama pada earbud premium ini. Sistem ANC menggunakan mikrofon serta algoritma untuk menganalisis keadaan persekitaran dan menyesuaikan tahap pembatalan bunyi secara masa nyata.
Ini memberikan kelebihan apabila digunakan dalam situasi seperti menaiki kereta api, kapal terbang atau berada di kawasan sibuk. Bunyi latar khususnya frekuensi rendah boleh dikurangkan supaya pengguna dapat memberikan lebih perhatian kepada muzik, podcast atau panggilan.
Pada masa sama, pengguna masih boleh mengaktifkan Ambient Sound apabila mahu mendengar bunyi persekitaran. Galaxy Buds4 Pro turut menawarkan Voice Detect. Apabila pengguna mula bercakap, earbud boleh mengesan suara dan beralih kepada mod ambient supaya perbualan boleh dilakukan tanpa perlu menanggalkan earbud. Selepas perbualan selesai, sistem boleh kembali kepada ANC.
Satu lagi ciri menarik ialah Siren Detect. Apabila diaktifkan, Galaxy Buds4 Pro boleh mengesan bunyi siren tertentu dan meningkatkan bunyi persekitaran supaya pengguna lebih peka terhadap amaran penting.
Enam Mikrofon Untuk Panggilan Lebih Jelas
Samsung turut memberikan perhatian besar kepada kualiti panggilan menerusi sistem enam mikrofon dan teknologi Deep Neural Network (DNN).
Ciri Super Clear Call menggunakan pemprosesan berasaskan pembelajaran mesin untuk membantu mengasingkan suara pengguna daripada bunyi latar. Samsung turut menggunakan teknologi Super Wideband bagi penghantaran suara sehingga 16kHz apabila dipadankan dengan telefon pintar Samsung yang serasi.
Ini menjadikan Galaxy Buds4 Pro bukan sekadar sesuai untuk mendengar muzik, malah lebih praktikal untuk mesyuarat dalam talian, panggilan telefon dan perbualan ketika berada di tempat yang sibuk.
Praktikal
Samsung turut mengubah pendekatan kawalan pada Galaxy Buds4 Pro. Berbanding bergantung sepenuhnya kepada tap pada permukaan earbud, Pinch Control menggunakan metal blade sebagai kawasan kawalan. Pengguna boleh menggunakan jari telunjuk untuk melakukan beberapa gerakan seperti single pinch, double pinch, triple pinch, pinch and hold serta swipe.
Single pinch boleh digunakan untuk memainkan atau menjeda muzik dan menjawab panggilan, double pinch untuk melangkau ke lagu seterusnya, manakala triple pinch boleh digunakan untuk kembali ke lagu sebelumnya.
Pengguna juga boleh melakukan swipe untuk melaraskan kelantangan dan pinch and hold untuk fungsi tertentu atau menolak panggilan. Pendekatan ini lebih mudah dicari melalui sentuhan dan berpotensi mengurangkan sentuhan tidak sengaja ketika pengguna sedang bergerak.
Kawalan Dengan Gerakan Kepala
Satu lagi ciri menarik yang membezakan Galaxy Buds4 Pro ialah Head Gesture. Dengan ciri ini, pengguna boleh menggunakan gerakan kepala tertentu seperti mengangguk atau menggeleng untuk melakukan tindakan tertentu. Sebagai contoh, gerakan kepala boleh digunakan untuk menjawab atau menolak panggilan serta mengakses fungsi tertentu melalui Bixby.
Ia mungkin kelihatan seperti ciri kecil, tetapi boleh menjadi berguna ketika tangan pengguna sedang sibuk, contohnya ketika membawa beg atau melakukan aktiviti lain.
Integrasi Galaxy Dan AI
Seperti produk Galaxy Buds sebelum ini, kekuatan terbesar Galaxy Buds4 Pro sebenarnya terletak pada ekosistem Samsung. Apabila dipadankan dengan telefon pintar Samsung atau tablet yang serasi, pengguna boleh mengakses pelbagai tetapan terus melalui Quick Panel dan menu peranti tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada aplikasi berasingan.
Samsung juga memperluaskan fungsi AI pada Galaxy Buds4 Pro. Pengguna boleh mengakses AI agent seperti Bixby, Google Gemini dan Perplexity melalui kawalan suara dan pengalaman bebas tangan pada peranti Galaxy yang disokong.
Bagi pengguna yang sudah menggunakan beberapa produk Samsung, pengalaman ini menjadikan Buds4 Pro lebih daripada sekadar Bluetooth earbuds. Proses pairing juga dipermudahkan. Samsung menyatakan pengguna Galaxy boleh membuka kotak pengecas untuk memulakan sambungan dengan telefon atau tablet yang serasi tanpa perlu memasang aplikasi Galaxy Wearable terlebih dahulu untuk pengalaman asas tersebut.
Namun, ini juga bermakna nilai sebenar Galaxy Buds4 Pro lebih mudah dirasai oleh pengguna yang memang berada dalam ekosistem Galaxy.
Galaxy Buds4 Pro turut menyokong Bluetooth 6.1, selain LE Audio dan Auto Switch. Auto Switch membolehkan earbud beralih antara peranti Galaxy yang serasi mengikut keadaan penggunaan, sekali gus memudahkan pengguna yang menggunakan lebih daripada satu peranti Galaxy.
Ia juga menyokong 360 Audio untuk pengalaman audio yang lebih imersif pada peranti dan kandungan yang serasi.
Bateri
Daripada aspek bateri, Galaxy Buds4 Pro mempunyai kapasiti 61mAh bagi setiap earbud, manakala kotak pengecas menggunakan bateri 530mAh. Dengan ANC diaktifkan, Samsung menyatakan Galaxy Buds4 Pro mampu memainkan muzik sehingga 6 jam, atau sehingga 26 jam apabila digabungkan dengan kotak peranti ini.
Jika ANC dimatikan, angka tersebut meningkat sehingga 7 jam pada earbud dan sehingga 30 jam secara keseluruhan bersama case. Angka ini lebih baik daripada Galaxy Buds4 biasa yang menawarkan sehingga 5 jam dengan ANC dan sehingga 24 jam bersama kotak pengecas.
Seperti biasa, angka sebenar bergantung kepada tahap kelantangan, tetapan ANC, sambungan Bluetooth, kandungan yang dimainkan dan corak penggunaan. Galaxy Buds4 Pro turut menyokong pengecasan tanpa wayar, sesuai untuk pengguna yang sudah mempunyai pad pengecas tanpa wayar dalam ekosistem mereka.

Ciri IP57
Satu lagi peningkatan penting ialah rating ketahanan IP57. Ini memberikan Galaxy Buds4 Pro perlindungan terhadap habuk dan air pada tahap yang lebih tinggi berbanding Galaxy Buds4 yang mempunyai rating IP54.
Walaupun begitu, IP57 bukan bermaksud earbud ini boleh digunakan sesuka hati ketika berenang. Pengguna masih perlu mengelakkan penggunaan dalam keadaan yang melibatkan pendedahan air berlebihan dan memastikan earbud dikeringkan sebelum dimasukkan semula ke dalam kotak pengecas.
Kesimpulan
Galaxy Buds4 Pro merupakan peningkatan yang lebih menyeluruh berbanding sekadar kemas kini spesifikasi. Samsung menggabungkan Enhanced 2-way Speaker, Dual Amplifier, Adaptive EQ, Adaptive ANC, enam mikrofon, Super Clear Call, Bluetooth 6.1, IP57 dan sokongan audio sehingga 24-bit/96kHz dalam sebuah pakej yang masih kecil dan ringan.
Kehadiran Pinch Control, Voice Detect, Siren Detect dan Head Gesture pula menjadikan Buds4 Pro lebih pintar serta praktikal untuk penggunaan harian. Namun, kekuatan terbesar Galaxy Buds4 Pro tetap datang daripada integrasi ekosistem Galaxy. Pengguna telefon Samsung akan mendapat pengalaman yang jauh lebih lengkap termasuk kawalan melalui Quick Panel, Auto Switch, ciri AI dan sokongan audio UHQ.
Dengan harga rasmi RM999 di Malaysia, Galaxy Buds4 Pro sememangnya berada dalam kategori premium. Ia bukan pilihan paling murah, tetapi harga tersebut lebih mudah diterima jika anda mahukan earbud yang menawarkan gabungan audio Hi-Fi, ANC pintar, ciri AI, kawalan bebas tangan dan integrasi mendalam dengan peranti Galaxy.
Secara keseluruhan, Galaxy Buds4 Pro ialah pilihan yang lebih menarik untuk pengguna yang mahu audio berkualiti tinggi dan pengalaman Galaxy yang lebih pintar, bukannya sekadar earbud untuk mendengar muzik.
SPESIFIKASI
Speaker: Enhanced 2-way Speaker
Amplifier: Dual Amplifier
Berat: 5.1g setiap satu
Berat kotak: 44.3g
Bluetooth: 6.1
Audio: sehingga 24-bit/96kHz dengan peranti Galaxy
Mikrofon: 6
ANC: Active Noise Cancellation, Adaptive ANC
Bateri earbud: 61mAh setiap satu
Bateri case: 530mAh
Muzik dengan ANC: sehingga 6 jam / 26 jam bersama case
Muzik tanpa ANC: sehingga 7 jam / 30 jam bersama case
Ketahanan: IP57
Warna: Black, White, Pink Gold*
Harga: RM999
*Pink Gold ditawarkan sebagai warna eksklusif dalam talian melalui Samsung.com di pasaran tertentu. Spesifikasi, warna dan ketersediaan boleh berbeza mengikut pasaran.









































