Google mengumumkan pelancaran rasmi program YouTube Creators for Impact di Malaysia, yang menghimpunkan pencipta kandungan tempatan yang dipercayai untuk memperjuangkan keselamatan dalam talian serta memperkasa ibu bapa menerusi kandungan berunsurkan pendidikan, sejajar dengan kepentingan keselamatan dalam talian yang semakin menjadi perhatian dalam kalangan keluarga Malaysia.

Pelaksanaan ini meneruskan komitmen jangka panjang YouTube dalam mewujudkan ekosistem dalam talian yang lebih selamat dan bertanggungjawab.

Dengan 72% ibu bapa di Malaysia menyatakan bahawa penggunaan alat keselamatan digital atau alat pendidikan bersama anak mereka membantu mereka berasa lebih yakin untuk berbincang mengenai keselamatan dalam talian, program ini memanfaatkan pengaruh pencipta kandungan tempatan yang dipercayai untuk mengetengahkan alat-alat tersebut serta menjadikan perbualan ini lebih mudah diakses dan lebih dekat dengan keluarga.

Bagi membantu keluarga di Malaysia membentuk tabiat digital yang baik di rumah, Google telah menggerakkan Lighthouse Creators, iaitu sekumpulan enam pencipta kandungan tempatan terkemuka yang dipilih berdasarkan kredibiliti, pengaruh positif serta keupayaan unik mereka untuk mencetuskan perbualan yang bermakna.

Barisan pencipta kandungan tersebut terdiri daripada A Lad and a Dad, Aqil Zulkiflee, Fourfeetnine, FU LOVE, Im_siowei dan JE Pong.

Sepanjang dua bulan akan datang, pencipta kandungan ini akan bekerjasama dengan pakar industri serta rakan-rakan pencipta kandungan dalam bengkel intensif bagi memperoleh pandangan praktikal mengenai isu-isu kritikal berkaitan keselamatan dalam talian, khususnya kawalan ibu bapa dan kesejahteraan golongan muda.

Berbekalkan pengetahuan ini, mereka akan menghasilkan kandungan yang memberi tumpuan kepada tiga teras utama:
● Smart Guardrails: Tip praktikal mengenai cara menggunakan alat kawalan ibu bapa dan ciri-ciri keselamatan.
● Digital Wellness: Strategi praktikal untuk membina tabiat penggunaan teknologi yang sihat di rumah.
● Purposeful Tech: Memanfaatkan teknologi sebagai alat yang berkesan untuk pembelajaran dan pembangunan kemahiran.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini