Red Communications bersama Komet Productions tampil dengan teaser pertama bagi filem seram dramatik arahan Shamyl Othman berjudul Khadam, sebuah filem yang bakal menyentuh emosi penonton melalui penceritaan yang padat, disokong oleh lakonan penuh jiwa serta visual sinematik yang memukau.
Mengangkat tema saka dengan tagline “Jangan Sampai Jadi Tuan”, Khadam memberi peringatan bahawa sesuatu yang pada awalnya dianggap sebagai pembantu, akhirnya boleh menjadi kuasa yang mengawal. Dalam kepercayaan masyarakat tempatan, “Khadam” merujuk kepada makhluk halus atau jin yang mendampingi pemiliknya dan diwarisi secara turun temurun.
Teaser berdurasi 60 saat dilancarkan hari ini sebagai gambaran awal dunia Khadam. Ia memperlihatkan kehidupan sebuah keluarga yang pada awalnya tenang, perlahan-lahan berubah apabila satu entiti mula mempengaruhi dan menguasai kehidupan mereka.
Tonton teaser Khadam di sini: https://youtu.be/TRVcpC4E58o
Penerbit Eksekutif Lina Tan menyatakan keyakinannya terhadap kekuatan gabungan tenaga kreatif di sebalik filem ini, khususnya Shamyl sebagai pengarah serta penulis skrip Fariza Azlina Isahak.
“Kami percaya Shamyl mempunyai visi yang jelas untuk dunia Khadam. Fariza pula kembali dengan sebuah naskhah yang lebih berani dan penuh emosi, dengan perjalanan cerita yang tersusun serta perubahan konflik yang tidak dijangka,” ujar Lina.
Pengarah Shamyl Othman menegaskan bahawa filem ini bukan bertujuan mempromosikan saka, sebaliknya menonjolkan akibat dan tanggungjawab yang datang bersamanya.
“Dalam Khadam, saka digambarkan sebagai gangguan yang mengambil ruang dalam diri seseorang secara perlahan. Sampai satu tahap, mereka sendiri tidak lagi pasti siapa diri mereka dan apa yang sedang menguasainya,” jelas Shamyl.




































