Selepas lebih tiga dekad dibangunkan secara berperingkat, Seremban 2 telah melalui proses kematangan, berkembang daripada sebuah pelan induk kepada perbandaran berdaya huni yang disokong komuniti mantap.
Dirintis berasaskan perancangan strategik IJM Land, kawasan ini kini menjadi tempat tinggal pilihan utama pelbagai lapisan keluarga. Evolusi itu kini diteruskan dengan kemunculan S2 Heights Aman, menandakan lembaran baharu dalam landskap kehidupan di Seremban 2.
Momentum ini dizahirkan melalui pembukaan Galeri S2 Heights Aman, hasil pelaburan sekitar RM10 juta, yang berfungsi sebagai medium untuk memperlihatkan hala tuju pembangunan secara menyeluruh.
Melalui pelan induk terperinci, model pembangunan berskala besar, elemen visual imersif serta karya seni, pengunjung dapat menelusuri visi S2 Heights Aman dan memahami bagaimana kawasan ini dirangka untuk berkembang secara progresif dalam tempoh
sepuluh tahun akan datang.
Direka sebagai hab maklumat dan gaya hidup, galeri ini mengetengahkan pendekatan
pembangunan yang mengutamakan kualiti kehidupan, ruang komuniti dan kesejahteraan
jangka panjang.
Galeri ini bukan hanya mempamerkan projek, tetapi memperlihatkan falsafah di sebalik setiap perancangan, daripada seni taman dan infrastruktur hingga kepada ritma kehidupan seharian yang lebih seimbang dan harmoni.
“S2 Heights Aman mencerminkan tafsiran kami terhadap masa depan kehidupan perbandaran,” kata Datuk Tony Ling Thou Lung, Ketua Pegawai Eksekutif IJM Land.
“Berpaksikan legasi Seremban 2, pembangunan ini memberi penekanan kepada penciptaan persekitaran yang selesa didiami serta mampu memupuk rasa kebersamaan merentas generasi.
“Melalui galeri ini, pengunjung dapat merasai sendiri skala perancangan dan memahami konsep kehidupan ‘Aman’ sejak dari awal.”
GALERI YANG MENYINGKAP KISAH PERBANDARAN
Terletak di atas tapak seluas 4.3 ekar, Galeri S2 Heights Aman direka sebagai titik ketibaan
utama yang ikonik ke perbandaran ini. Ia berperanan sebagai destinasi gaya hidup yang
mengintegrasikan ruang galeri, kafe, ruang acara fleksibel serta kemudahan parkir yang
mencukupi.
Susun atur ini menggalakkan interaksi komuniti dan memastikan akses yang mudah kepada pengunjung. Reka bentuk tiga pintu masuk selebar 100 kaki menonjolkan rasa keterbukaan dan kemudahan pergerakan sebaik sahaja pengunjung tiba.
Elemen ini mencerminkan prinsip aliran yang jelas dan skala ruang yang menjadi identiti utama kehidupan di S2 Heights Aman. Sepanjang berada di galeri, kisah pembangunan bandar ini dipaparkan secara berperingkat.
Pelan induk Seremban 2, S2 Heights dan S2 Heights Aman dipersembahkan bersama model berskala besar, memperlihatkan evolusi kawasan ini daripada bandar sedia ada kepada perbandaran yang terancang.
Elemen jaringan perhubungan, zon hijau dan presint kediaman disusun rapi bagi menonjolkan keseimbangan antara mobiliti moden dan alam semula jadi.







































