Susulan kenyataan bertarikh 17 Januari 2026, AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn. Bhd., selaku Pengurus AmanahRaya Real Estate Investment Trust (AmanahRaya REIT), ingin memaklumkan bahawa penilaian oleh jurutera bebas telah selesai dijalankan ke atas Wisma ELM, Bukit Damansara, susulan kejadian yang berlaku pada 12 Januari lepas.
Sebuah firma perunding jurutera bebas yang bertauliah, CHT International Sdn. Bhd., telah dilantik untuk menjalankan penilaian teknikal secara menyeluruh dan objektif, merangkumi kajian terhadap struktur utama dan sistem premis yang terlibat.
Berdasarkan laporan penilaian yang diterima, struktur utama bangunan disahkan kekal utuh dan stabil, tanpa sebarang isu berkaitan integriti keseluruhan bangunan. Laporan tersebut turut mengesahkan bahawa tiada risiko struktur sistemik dikenal pasti dan ianya kekal selamat dari segi struktur, tertakluk kepada pelaksanaan kerja-kerja pembetulan dan pemeriksaan sistem yang sedang dijalankan, selesai.
Laporan penilaian selanjutnya menunjukkan bahawa impak kejadian hanya tertumpu kepada kawasan dan sistem mekanikal tertentu
AmanahRaya REIT telah bekerjasama rapat dengan Universiti HELP, pengurus hartanah yang dilantik, Knight Frank Malaysia Sdn. Bhd., dan pihak berkuasa berkaitan sepanjang proses kajian berlangsung. Pemeriksaan keselamatan dan prosedur pengesahan yang diperlukan telah dilaksana mengikut piawaian kejuruteraan profesional.
Mana-mana kawasan yang dikenal pasti memerlukan kerja pembaikan atau langkah
kawalan keselamatan tambahan sedang ditangani secara terancang dan berperingkat, sebelum sebarang keputusan berkaitan penyambungan semula operasi dibuat.
Keselamatan kekal menjadi keutamaan AmanahRaya REIT dan kerjasama sepenuhnya akan diberikan kepada pihak berkuasa.
Sebagai langkah proaktif, kami telah bertindak pantas untuk melantik firma kejuruteraan bebas bagi menjalankan penilaian menyeluruh dan objektif ke atas premis. Laporan ini memberikan jaminan berhubung integriti struktur bangunan.
“Kami akan terus bertindak secara telus dan teratur selaras dengan perkembangan siasatan yang selanjutnya. Ingatan kami kekal bersama mereka yang terjejas oleh kejadian tersebut,” kata pihak pengurusan AmanahRaya REIT dalam kenyataan itu.







































