Reigate Grammar School Kuala Lumpur (RGSKL) telah merasmikan pembukaan kampus baharunya di Kajang 2, bagi membawa tradisi kecemerlangan pendidikan British melalui kerjasamanya dengan Beaconhouse Group.

Ditubuhkan pada tahun 1675, Reigate Grammar School di United Kingdom merupakan antara sekolah swasta paling berprestij di England, terkenal dengan pencapaian akademik, penjagaan pastoral yang unggul serta komitmen terhadap pembangunan menyeluruh untuk setiap pelajar.

Majlis perasmiannya turut dihadiri oleh wakil senior dari Kementerian Pendidikan, seperti Timbalan Pengarah Pendidikan Swasta, Dr. Sarifah Norazah. Turut hadir ialah Richard Colley, Pengarah Negara, Jabatan Perniagaan dan Perdagangan, Suruhanjaya Tinggi British, serta Hamza Naveed, Atase Kebajikan Komuniti, Suruhanjaya Tinggi Pakistan.

Acara ini turut disertai oleh Kasim Kasuri, Ketua Pegawai Eksekutif Beaconhouse, Nassir Kasuri, Pengarah Eksekutif Beaconhouse, para kakitangan kanan Beaconhouse, serta wakil dari Reigate Grammar School, seperti Shaun Fenton, Guru Besar Eksekutif Kumpulan Reigate Grammar School, Sean Davey, Pengarah Perniagaan Global, dan rakan-rakan dari kampus RGS di rantau ini.

“Perasmian ini merupakan satu pencapaian penting bagi kami. Kami berbangga untuk membawa warisan dan pengajaran Reigate Grammar School ke Malaysia. Kami mahu membina sebuah komuniti yang mesra dan inklusif di mana setiap pelajar akan disokong, diberikan keyakinan dan inspirasi untuk mencapai potensi mereka,” kata Philip Bailey, Pengetua Reigate Grammar School Kuala Lumpur.

RGSKL menawarkan pendidikan British unik yang berasaskan nila-nilai teras sekolah berkenaan iaitu sifat ingin tahu, ketabahan, etika, rasa hormat dan kreativiti. Nilai-nilai ini merupakan panduan dalam proses pembelajaran di semua peringkat, daripada Tahun Awal hingga ke peringkat A Level.

Setiap pelajar akan diberi perhatian dan sokongan dengan penekanan yang seimbang terhadap kemajuan akademik, kesejahteraan diri dan perkembangan peribadi.

Sekolah ini menyediakan persekitaran pembelajaran yang bertenaga bagi membolehkan pelajar meneroka minat tersendiri melalui pelbagai aktiviti sukan, muzik, drama dan seni kreatif. Program lawatan sambil belajar dan aktiviti pembelajaran praktikal diintegrasikan bersama pengalaman pengajaran di dalam kelas, sekali gus menggalakkan sifat ingin tahu, kerjasama dan keyakinan diri.

Kampus Kajang 2 dibina untuk menyokong sistem pembelajaran moden yang holistik, dilengkapi dengan lapan makmal sains, perpustakaan dua tingkat, padang sintetik bersaiz penuh, kolam renang, dewan serba guna dalaman, gelanggang luar, gelanggang tenis dan dua dinding panjat.

Fasiliti asrama berkapasiti 250 pelajar dijadualkan untuk dibuka pada Ogos 2027. Sementara itu, penginapan berdekatan yang diawasi akan disediakan sehingga asrama siap, dan sekolah akan turut menawarkan perkhidmatan bas ulang-alik.

RGSKL kini mendidik lebih 400 pelajar daripada 28 negara, dengan kapasiti maksimum 1,250 pelajar. Kepelbagaian ini mencerminkan pandangan global Malaysia dan mewujudkan persekitaran sekolah antarabangsa yang inklusif.

Shaun Fenton, Guru Besar Eksekutif Reigate Grammar School Group, berkata, “Pengalaman 350 tahun kami dalam dunia pendidikan British telah memberikan kami asas yang kukuh untuk para pelajar di kampus Kuala Lumpur. Kami mahu setiap pelajar berkembang dari segi akademik dan peribadi, sambil memupuk perspektif global dalam diri mereka.”

RGSKL beroperasi melalui kerjasama dengan Beaconhouse Group, salah satu rangkaian pendidikan terbesar di dunia dengan badan pelajar melebihi 380,000 orang di lapan negara, termasuklah 13 sekolah di Lembah Klang.

Kerjasama ini bakal menggabungkan kepakaran antarabangsa dan pemahaman tempatan untuk menyediakan pendidikan British berkualiti tinggi yang mencerminkan budaya serta nilai Malaysia.

“Kerjasama dengan Beaconhouse ini mengukuhkan misi kami untuk menawarkan pendidikan yang membentuk sahsiah di samping kecemerlangan akademik. Setiap pelajar kami harus dilengkapi dengan keperluan masa depan dan yakin dengan identiti mereka,” tambah Philip Bailey.

Reigate Grammar School Kuala Lumpur mengalu-alukan seeisi keluarga untuk menghadiri sesi Open Morning pada hari persekolahan biasa. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.reigategrammar.edu.my.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini