Wawasan Open University (WOU) terus mengukuhkan peranannya sebagai penghubung antara dunia akademik dan industri dengan memeterai kerjasama baharu bersama satu rakan pendidikan dan dua syarikat berasaskan industri di Pulau Pinang.
Usaha ini melanjutkan inisiatif terdahulu bagi membangunkan bakat di semua peringkat tenaga kerja – daripada operator barisan hadapan hinggalah ke pengurusan kanan – melalui laluan pembelajaran yang fleksibel serta sejajar dengan kehendak industri, sekali gus membawa kepada kelayakan akademik dan profesional yang diiktiraf.
Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) telah berlangsung di kampus utama WOU di Pulau Pinang. Universiti yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Naib Canselor, Prof Dr Lily Chan, menandatangani MoU bersama Fourier TVET Centre, MI Equipment Sdn Bhd dan 3REN Berhad. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Dato’ Loo Lee Lian, bersama wakil kerajaan, industri dan sektor pendidikan.
Memacu Aliran Bakat Masa Hadapan
Melalui jaringan kerjasama ini, WOU menegaskan komitmennya untuk bersama-sama membangunkan aliran bakat dengan pemain utama industri berteknologi tinggi di Pulau Pinang. Langkah ini membuka peluang lebih luas untuk menangani jurang kemahiran kritikal, selain menyokong pertumbuhan sektor elektrik & elektronik (E&E), semikonduktor, automasi dan teknologi perubatan.
Dalam ucapan alu-aluan, Prof Chan menekankan bahawa kolaborasi ini mencerminkan peranan WOU dalam memperkukuh ekosistem akademia–industri–kerajaan bagi melahirkan aliran bakat yang mampan, seterusnya menjamin pertumbuhan jangka panjang negeri dalam sektor teknologi kritikal serta meningkatkan daya saing global.

“Sebagai ‘Silicon Valley of the East’, Pulau Pinang memerlukan institusi pendidikan seperti WOU memainkan peranan penting dalam membentuk landskap bakat serantau. Melalui kerjasama Fourier sebagai pusat latihan utama jurutera, serta peluasan kerjasama ke sektor teknologi perubatan yang sedang berkembang pesat, kita memastikan industri memiliki kemahiran tinggi untuk berinovasi, berkembang dan bersaing di peringkat global. Usaha ini juga menyokong agenda ekonomi digital negara selari dengan Strategi Semikonduktor Nasional dan aspirasi AI Nation 2030,” kata Prof Chan.
Memperkasa Ekosistem Inovasi dan Bakat Pulau Pinang

Dalam ucapannya, Dato’ Loo menegaskan bahawa kolaborasi ini merupakan perkembangan penting dalam memperkukuh ekosistem pembangunan bakat di Pulau Pinang, sekali gus mengangkat kedudukan negeri sebagai hab pembuatan serantau.
Beliau turut menambah bahawa model pembelajaran fleksibel WOU memberi peluang kepada pekerja meningkatkan kemahiran tanpa menjejaskan kerjaya, di samping membolehkan syarikat sentiasa memperkasa tenaga kerja di semua peringkat.
Beliau menambah, “Saya ingin mengucapkan tahniah kepada WOU serta rakan industri strategiknya atas keberanian melaksanakan inisiatif ini. Usaha sama ini bukan sahaja tepat pada masanya, malah penting untuk membangunkan bakat di negeri ini, selaras dengan kerangka Pelan Induk Bakat STEM Pulau Pinang di peringkat pascamenengah.
Matlamatnya adalah untuk memupuk pembelajaran sepanjang hayat melalui pendekatan proaktif dalam meningkatkan serta memperkukuh kemahiran, agar bakat kita terus relevan dalam pasaran pekerjaan.”
Program Disesuaikan Mengikut Keperluan Industri
Kerjasama baharu ini adalah sebahagian daripada strategi WOU untuk menyelaraskan dunia akademik dengan industri bagi membina aliran bakat berdaya tahan menuju era Industri 4.0.
Antara inisiatif termasuk:
- Fourier TVET Centre Sdn Bhd – bekerjasama dengan WOU menawarkan Diploma Kemahiran dalam Teknologi Mekatronik, meliputi kemahiran seperti pengaturcaraan PLC & HMI, kawalan pergerakan, reka bentuk sistem dan pengesanan kerosakan. Fourier, ditubuhkan pada 1996, telah menghasilkan lebih 800 graduan yang diiktiraf sebagai Jurutera Bertauliah dan Profesional.
- MI Equipment Sdn Bhd – syarikat berpusat di Pulau Pinang dengan kepakaran penyelesaian peralatan semikonduktor. Kerjasama dengan WOU termasuk pemberian rebat korporat kepada pekerja yang melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan, perniagaan, analitik data, teknologi digital dan kepimpinan.
- 3REN Berhad – syarikat tersenarai awam dalam bidang automasi dan kejuruteraan. WOU akan menyediakan laluan untuk pekerja memperoleh pensijilan profesional, ijazah sarjana muda dan sarjana. 3REN memberi tumpuan kepada penyelesaian digital, kejuruteraan produk dan automasi berasaskan AI serta teknologi Industri 4.0/5.0.
Program-program ini akan dijalankan melalui WOU Academy, cabang pembangunan bakat korporat universiti, dengan sokongan fakulti teknologi, kejuruteraan, perniagaan dan teknologi digital.
Menjamin Daya Saing Jangka Panjang
Kerjasama strategik ini menegaskan misi WOU untuk kekal fleksibel, terbuka dan sejajar dengan keperluan industri, sekali gus menyumbang secara langsung kepada daya saing jangka panjang Pulau Pinang dalam landskap teknologi global.
Secara kolektif, inisiatif ini melambangkan tekad WOU untuk membina aliran bakat yang kukuh bagi Industri 4.0 – melengkapkan tenaga kerja dengan pengetahuan, kemahiran dan relevansi industri yang diperlukan untuk berjaya dalam era digital serta berteraskan inovasi.






































