HONOR, pengeluar telefon pintar terkemuka dari China sekali lagi memperkenalkan peranti terbaharunya HONOR X9d 5G dengan mempertaruhkan ciri-ciri lasak bertemakan “Ultra-Kukuh Tiga Perlindungan”.
Prebiu.com yang dipelawa menyaksikan peranti ini lebih dekat dalam sesi prebiu kepada media dapat berasakan peranti terbaharu ini sememangnya benar-benar tahan lasak dan melepasi lapan ujian yang disenaraikan pada sesi itu, semalam.
Peranti ini bukan sahaja lasak tetapi dipadankan dengan beberapa ciri terbaharu yang belum pernah ada pada mana-mana telefon pintar pada masa kini. Ciri seperti perlindungan daripada impak bertekanan tinggi dan pendedahan kepada haba serta air, hinggalah keadaan berhabuk dan berlumpur menyaksikan peranti ini menerima pengiktirafan IP69K yang pertama dalam industri.

Mengimbas kembali sejarah pengenalan peranti ini pada 2022 menerusi HONOR X9, X9a (2023), X9b (2024) dan HONOR X9c pada tahun ini, siri peranti X ini terus mengukuhkan reputasinya sebagai telefon pintar paling tahan lasak sehingga hari ini.
Apa yang menarik dengan model terbaharu ini? Paling jelas ciri kamera utama dengan sensor 108 megapiksel (MP) dan bateri silikon-karbon berkapasiti paling besar 8300mAh yang dianggap cukup besar diberikan kepada setiap media yang terpilih menerima peranti ujian ini.
Meskipun media belum dibekalkan dengan spesifikasi penuh dalaman dan luaran peranti ini, apa yang dihuraikan dalam reviu pandang pertama ini hanyalah bersandarkan kepada maklumat asas yang diberikan.
SKRIN
Apa yang menarik pada peranti terbaru ini ialah skrinnya kali ini rata, lasak dan bonggol pada kamera belakang juga tidak terlalu ketara menjadikan peranti ini kelihatan benar-benar premium dipandang serta kemas dalam gengaman tangan.

Melihat kepada paparan warna, skrin HONOR X9d cukup cantik dan jelas dengan tahap kecerahan amat memuaskan sekali gus meletakkan peranti ini sebaris dengan peranti kelas pertengahan lain.
Malah ketika menggunakan peranti ini di bawah cahaya matahari terik juga tidak akan menimbulkan masalah dan kawalan manual tahap kecerahan boleh mencapai sehingga 1200 nits.
REKAAN LUARAN
HONOR X9d hadir dengan rekaan rata yang nipis manakala butang bezel pada sebelah kanan tidak terlalu tebal dan ringkas. Peranti ini ringan dan cukup selesa digenggam serta disimpan kemas dalam kocek seluar atau dompet wanita.
Melihat kepada rekaan belakang pula, ciri rekaan kameranya agak unik dengan bulatan besar jelas kelihatan dan menerima penarafan IP69K iaitu perlindungan habuk, impak bertekanan tinggi serta air yang paling ekstrem.
Apa yang menarik ialah permukaan badan peranti pada panel belakang itu pula kusam seakan saduran kulit halus lengkap dengan logo keemasan HONOR sekali gus mengurangkan kesan cap jari dan habuk namun selesa digengam.
Di atas peranti pula terdapat lubang mikrofon, speaker manakala satu lagi lubang sama di bahagian bawah bersama-sama dengan kekisi speaker, slot kad SIM dan port USB-C. Sisi kanan peranti dilengkapi dengan semua butang kuasa dan butang laras suara sementara tiada apa-apa di sisi kiri.
Berdasarkan kepada sesi prebiu itu, peranti ini dipadankan dengan enam kerangka kukuh yang menyerap hentakan yang diinspirasikan kepada ciri bahan kalis peluru. Lapisan pertama iaitu skrin kaca tahan pecah-ultra deep diikuti lapisan berketahanan tinggi di sekeliling skrin, di bawah skrin dan sehinggalah kepada lapisan paling belakang yang dipertingkatkan.
HONOR X9d 5G menawarkan empat pilihan warna di Malaysia iaitu Reddish Brown, Sunrise Gold, Forest Green dan Midnight Black menjadikannya peranti Pilihan Utama Rakyat Malaysia.
KAMERA
HONOR X9d dilengkapi dengan dua-kamera di belakang yang bulat dikelilingi oleh lingkaran keemasan yang mendapat sedikit sentuhan seakan rekaan daripada peranti premium HONOR Magic V5.
Meskipun tiada lagi maklumat rasmi diberikan HONOR Malaysia mengenai spesifikasi lengkap peranti ini, namun berdasarkan kepada pandang pertama, peranti ini memiliki banyak kelebihan berbanding peranti kelas pertengahan lain yang sedia ada di pasaran masa kini.
Ciri kameranya hampir lengkap dengan ciri sedia ada pada model terdahulu seperti potret, mod malam, imbas dokumen dengan ciri zoom 10 kali selain ciri kecerdasan buatan (AI) yang lain.
Menggunakan mod malam juga menghasilkan gambar yang cantik dengan tahap kecerahan warna lebih jitu meskipun zum digital digunakan.
BATERI
Peranti ini dibekalkan dengan bateri sebesar 8300mAh jenis Silikon Karbon yang tahan lama dan ketika ini dibekalkan kepada model peranti premium HONOR Magic V3 dan V5 dengan sokongan pengecasan pantas 66W HONOR SuperCharge.
Dengan sekali cas, peranti ini boleh bertahan selama tiga hari untuk bermain game, melayari media sosial, mendengar muzik atau apa sahaja. Pengecasan adalah melalui kabel USB-A ke USB-C yang mana kedua-dua kabel dan palam pengecas disediakan di dalam kotak.
Berdasarkan sesi prebiu kepada media, peranti ini mampu membuat panggilan telefon selama sejam dan 24 minit untuk menghantar mesej di aplikasi WhatsApp meskipun kuasa bateri berada pada tahap dua peratus sahaja. Hebat bukan!
Bagaimanapun, harga bagi peranti ini masih belum diumumkan, namun penuiis menjangkakan ia bakal ditawarkan pada harga sekitar RM2,000.
HONOR X9d 5G akan dilancarkan secara rasminya di Malaysia pada 24 September 2025.

APA ADA DALAM KOTAK?
- 1 unit HONOR X9d.
- 1 unit Pengecas 66W HONOR SuperCharge
- 1 unit Kabel USB-A ke USB-C
- 1 unit Pin SIM.
- 1 unit Kerangka silikon.
- 1 Unit adapter
* NANTIKAN ULASAN PENUH HONOR X9d 5G

































