Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, berkenan menyempurnakan Majlis Peluncuran Wakaf Kelestarian Alam: Konservasi Penyu Terengganu dan RHB Sukuk Dana Hafeez yang berlangsung di Hotel The Westin, Kuala Lumpur pada 4 Ogos 2025.
Majlis ini turut menyaksikan pertukaran Perjanjian Persefahaman (MoA) antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan RHB Islamic Bank Berhad (RHB Islamic), sebagai simbolik kerjasama strategik dalam pelaksanaan Wakaf Kelestarian Alam: Konservasi Penyu Terengganu.
Sebagai langkah permulaan yang signifikan, RHB Islamic International Asset Management Berhad (RHBIIAM) memperkenalkan RHB Sukuk Dana Hafeez, sebuah instrumen pelaburan patuh Syariah yang mana pulangan daripada dana tersebut akan disalurkan sepenuhnya kepada Tabung Wakaf Pendidikan dan Kebajikan UMT.
Ini bagi menyokong inisiatif Kelestarian Alam: Konservasi Penyu Terengganu. Melalui pendekatan ini, RHB Islamic dengan kerjasama RHBIIAM tampil sebagai rakan korporat utama yang berganding bahu bersama UMT dalam pelaburan dana mampan bagi pendidikan dan konservasi alam sekitar.
Kerjasama strategik ini menggabungkan kepakaran UMT dalam penyelidikan dan pemuliharaan penyu, menerusi Sea Turtle Research Unit (SEATRU) dan Stesen Penyelidikan Alami Penyu di Chagar Hutang, Pulau Redang, dengan pengalaman RHB Islamic dan RHBIIAM dalam pembangunan instrumen kewangan patuh Syariah serta pengurusan dana berimpak sosial tinggi.




































