Dalam dunia masa kini yang serba pantas, pengguna didapati semakin kerap mengambil makanan tambahan atau suplemen untuk mengisi jurang pemakanan dalam diet mereka.

Disebabkan gaya hidup yang sibuk dan tabiat pemakanan yang berubah ansur, ramai yang menghadapi masalah untuk memenuhi keperluan nutrien harian mereka hanya melalui makanan. Kemajuan dalam penilaian kesihatan peribadi, sama ada menerusi rundingan dengan profesional perubatan, diagnosis pemakanan digital dan juga kit ujian pemakanan DNA membolehkan individu lebih memahami keperluan pemakanan mereka.

Disebabkan perubahan gaya hidup ini, suplemen pemakanan kini menjadi penyelesaian popular bagi mereka yang ingin menjaga kesejahteraan diri dengan cara yang mudah dan terkhusus. Tahap kepercayaan pengguna yang semakin meningkat juga menyokong pertumbuhan pesat industri makanan tambahan, terutamanya di Malaysia.

Malah menurut hasil kajian pasaran, pasaran suplemen pemakanan di Malaysia bernilai USD 644.88 juta pada 2023. Pasaran dijangka berkembang pada kadar 5.2% setiap tahun dan mencecah kira-kira USD 919.58 juta menjelang 2030.

Apabila permintaan bagi makanan tambahan melonjak, begitu juga kebimbangan terhadap soal keselamatan, kualiti dan pengawalseliaan. Dalam sesetengah kes, suplemen didapati mengandungi bahan farmaseutikal yang tidak diisytiharkan, seperti ubat sintetik atau pencemar yang boleh menimbulkan risiko kesihatan serius.

Oleh yang demikian, ketelusan dalam industri makanan tambahan merupakan faktor kritikal untuk mendapatkan kepercayaan pelanggan. Jenama yang mengamalkan kaedah pelabelan, persumberan dan jaminan kualiti yang telus boleh membina imej jenama yang membezakan mereka dalam pasaran yang semakin kompetitif.

Di Malaysia, makanan tambahan dan suplemen kesihatan dikawal ketat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di bawah Kementerian Kesihatan. Menurut garis panduan rasmi NPRA, semua suplemen kesihatan mesti didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan memenuhi keperluan untuk keselamatan, kualiti, keberkesanan, pelabelan dan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP).

Produk dinilai berdasarkan tahap risiko, dan hanya produk yang mematuhi garis panduan boleh dijual di pasaran. Langkah ini memastikan pengguna Malaysia boleh mendapatkan suplemen yang selamat dan berkualiti tinggi.

Untuk pasaran APAC yang lain, kebanyakan negara memerlukan suplemen pemakanan untuk didaftarkan dengan pihak berkuasa kawal selia sebelum dijual. Bagaimanapun, penarikan balik suplemen di rantau ini telah menimbulkan persoalan tentang tahap kawal selia industri.

Berbeza daripada sektor farmaseutikal, yang perlu menjalani proses ujian dan kelulusan ketat, makanan tambahan lazimnya dikawal selia dengan cara yang sama seperti produk makanan, dengan tumpuan khususnya pada pelabelan dan keselamatan am.

Tahap ketegasan kawal selia berbeza-beza mengikut negara, menyebabkan keselamatan dan kualiti yang tidak konsisten. Antara faktor penting yang perlu dipertimbangkan dari sudut kawal selia termasuk:
 Rangka Kerja Kawal Selia: Negara seperti Korea Selatan dan Taiwan telah melaksanakan rangka kerja kawal selia yang komprehensif untuk makanan tambahan, yang dipantau oleh pihak berkuasa makanan dan ubat-ubatan masing-masing. Kedua-dua negara ini menetapkan keperluan penilaian keselamatan, kelulusan bahan fungsian dan pematuhan kepada GMP sebelum produk boleh memasuki pasaran. Langkah ini menjamin piawaian
keselamatan, keberkesanan dan kualiti yang tinggi.
 Piawaian Pelabelan: Pelabelan yang jelas dan tepat adalah amat penting demi keselamatan pengguna. Berasaskan peraturan yang ditetapkan, label suplemen harus menyenaraikan bahan/ramuan, dos yang disyorkan, dan kesan sampingan yang mungkin dialami, walaupun penguatkuasaan berbeza-beza di seluruh rantau ini.
 Dakwaan Suplemen Kesihatan: Banyak jenama membuat dakwaan tentang manfaat produk mereka, daripada meningkatkan keimunan kepada menambah baik fungsi kognitif. Sesetengah dakwaan ini mungkin mengelirukan atau tidak dapat disahkan, lebih-lebih lagi tanpa tindakan kawal selia yang ketat.
 Pengiklanan dan Promosi: Pemasaran digital, terutamanya melalui media sosial, telah memainkan peranan penting dalam penjualan suplemen. Di sesetengah negara, iklan atau tuntutan yang mengelirukan boleh dikenakan denda, manakala di negara lain, penguatkuasaan adalah lemah, menjadikannya lebih mudah bagi produk meragukan sampai ke tangan pengguna.

Walaupun pelbagai usaha telah diambil seperti inisiatif Pengharmonian Suplemen Kesihatan ASEAN untuk membangunkan rangka kerja kawal selia bersepadu seluruh Asia Tenggara, rangka kerja ini masih belum dilaksanakan sepenuhnya sehingga kini.

Sehingga piawaian sedemikian diterima pakai, pengguna dan juga pengilang perlu terus mengharungi persekitaran kawal selia yang rumit dan tidak seragam di seluruh rantau ini.

Kepentingan Mendapatkan Suplemen Berlandaskan Sains
Memandangkan terdapat piawaian kawal selia yang berbeza-beza merentasi pasaran, pengesahan saintifik memainkan peranan penting untuk membantu pengguna membuat keputusan secara maklum dan yakin dalam soal kesihatan mereka.

Makanan tambahan berasaskan penyelidikan saintifik yang boleh dipercayai memberikan tahap jaminan yang lebih tinggi dari segi keselamatan, keberkesanan, dan manfaat jangka panjang. Syarikat kesihatan dan kesejahteraan sering membezakan diri mereka dengan mengutamakan pembangunan produk berlandaskan sains dan kawalan kualiti yang ketat. Pelaburan dalam penyelidikan yang menyeluruh dan mematuhi piawaian yang ketat membantu menetapkanpenanda aras bagi keselamatan produk, lantas memastikan pengguna menerima suplemen bermutu tinggi dan berkesan.

Aspek utama komitmen ini ialah pengesahan saintifik, dengan formulasi dibangunkan berdasarkan penyelidikan yang boleh dipercayai dan bukannya trend pasaran yang bersifat sementara. Untuk terus memastikan keselamatan dan kemujaraban produk, syarikat juga boleh menjalankan ujian pihak ketiga bebas untuk menentukan ketulenan ramuan dan mengesahkan bahawa apa yang dinyatakan pada label mencerminkan kandungan produk dengan tepat.

Membuat Pilihan Maklum Demi Kesihatan Anda
Memandangkan industri suplemen terus berkembang maju, pengguna juga perlu memainkan peranan aktif untuk menyelidik dan mengesahkan produk yang diambil oleh mereka.

Sebelum membeli makanan tambahan, pengguna perlu menyemak senarai ramuan dan mengesahkan sama ada produk itu mengandungi sebarang bahan alahan, bahan tambah tiruan atau unsur yang mungkin berbahaya.

Memahami proses pembuatan juga tidak kurang pentingnya, dengan memilih jenama yang mematuhi GMP manakala ujian pihak ketiga boleh membantu menjamin keselamatan produk. Dengan mengambil tahu proses penyelidikan suplemen untuk membuat pilihan maklum, pengguna boleh melindungi kesihatan mereka dengan lebih baik sambil memanfaatkan kelebihan makanan tambahan.

Untuk pengawasan lebih teliti, seperti yang disyorkan oleh Program Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, pengguna boleh melayari laman www.npra.gov.my untuk menyemak status pendaftaran suplemen dan menentukan kesahihan produk.

Alex Teo, Director, Research Development and Scientific Affairs, Asia Pacific, Herbalife

Oleh: Alex Teo, Pengarah, Pembangunan Penyelidikan dan Hal Ehwal Saintifik, Asia Pasifik, Herbalife

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini