Buat pertama kalinya di Malaysia, rawatan Dekompresi Belon Epidural Tulang Belakang telah berjaya dilaksanakan di KPJ Sentosa KL Specialist Hospital dan membuka lembaran baharu dalam pengurusan stenosis tulang belakang secara minimal invasif.
Stenosis tulang belakang merupakan keadaan kronik yang sering dialami golongan berusia, menyebabkan kesakitan, kebas, dan kesukaran bergerak. Dengan adanya rawatan ini, pesakit kini mempunyai pilihan rawatan yang lebih selamat dan berkesan tanpa perlu melalui pembedahan besar.
Rawatan inovatif ini diterajui oleh Dr. Chen Chee Kean, seorang pakar kesakitan intervensi dan Presiden-Elekt Persatuan Pakar Kesakitan Intervensi Malaysia (MSIPP). Dr Chen juga merupakan pakar yang pertama yang menggunakan peranti asli dari Juvenui Korea Selatan bagi tujuan prosedur ini dan menjadikan KPJ Sentosa KL sebagai pusat pertama yang memperkenalkan rawatan tersebut kepada rakyat Malaysia.
Prosedur ini menggunakan belon khas yang dimasukkan ke dalam ruang epidural di tulang belakang. Belon ini dikembangkan untuk membuka ruang yang sempit, mengurangkan tekanan pada saraf dan melancarkan aliran darah.
Prosedur ini dilakukan dengan panduan fluoroskopi (X-ray langsung), mengambil masa kurang dari satu jam dan pesakit boleh pulang pada hari yang sama. Rawatan ini bersesuaian dengan pesakit yang berumur atau mereka mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit jantung, strok dan diabetes.
Ini kerana teknik ini tidak melibatkan pembedahan besar. Justeru, risiko implikasi sangat rendah dan masa pemulihan yang singkat. Setiap rawatan pasti mempunyai risiko kecil seperti jangkitan atau pendarahan.
Namun, Dr. Chen dan pasukannya di KPJ Sentosa KL bersedia membantu pesakit membuat keputusan terbaik berdasarkan keadaan kesihatan individu.
“Kami berbangga menjadi hospital pertama di Malaysia yang memperkenalkan rawatan Dekompresi Belon Epidural. Ini selari dengan misi KPJ Healthcare untuk sentiasa berada di barisan hadapan dalam penjagaan kesihatan moden,” katanya.




































