Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) baru-baru ini telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Bank Simpanan Nasional (BSN) di ibu pejabat PPZ-MAIWP.
Majlis ini merupakan simbolik kepada kerjasama strategik di antara dua institusi dalam usaha memperkukuh ekosistem wakaf dan zakat di Wilayah Persekutuan, di mana BSN secara rasminya telah dilantik sebagai ejen kutipan wakaf tunai PPZ-MAIWP.
Melalui MoU ini, kemudahan Sistem Pembayaran Wakaf dalam talian menerusi aplikasi MyBSN juga telah diperkenal bagi memudahkan pengguna menunaikan wakaf dengan lebih cepat, selamat dan telus.
Selain itu, pelanggan BSN turut mempunyai akses kepada pelbagai saluran sedia ada untuk tujuan berwakaf, termasuk ATM/ CDM, perbankan internet, e-Biller, QR DuitNow, pendebitan keuntungan melalui akaun simpanan, ejen bank dan juga di kaunter-kaunter BSN. Setiap transaksi akan dikemaskini secara automatik bagi memudahkan pewakaf menyemak rekod sumbangan wakaf secara langsung.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Haji Abdul Hakim Amir Osman berkata, sinergi di antara PPZ-MAIWP dan BSN ini bukan yang pertama, memandangkan institusi perbankan ini telah dilantik sebagai ejen rasmi kutipan zakat PPZ-MAIWP sejak tahun 2011.




































