Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menganjurkan Kempen Internet Selamat (KIS) yang dilihat sebahagian daripada pendekatan proaktif Kerajaan MADANI untuk memastikan penggunaan Internet selamat sentiasa diutamakan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, atas kesedaran itu Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) memainkan peranan yang penting dalam menyemai kesedaran penggunaan Internet selamat dalam kalangan rakyat negara ini.
“NADI akan membantu pelaksanaan KIS, yang merupakan sebahagian daripada pendekatan proaktif Kerajaan MADANI selaras dengan pertumbuhan pesat penggunaan teknologi serta pelbagai aplikasi dalam talian di Malaysia.
“Malahan kita (kerajaan) telah memantapkan beberapa program dengan hasrat bukan sekadar komuniti setempat datang ke NADI ini, tetapi pasukan ini (NADI) juga keluar.
“Apa yang kita usahakan termasuklah KIS, kita hantar pengurus-pengurus untuk pergi ke sekolah dan meningkatkan pemahaman dan kesedaran dalam kalangan pelajar dan juga guru dan ibu bapa tentang kepentingan memastikan anak-anak terutamanya selamat semasa dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Pusat Sebaran Maklumat Nasional di Taman Sri Skudai di sini, pada 22 April 2025. Hadir sama adalah Pengerusi Jawatankuasa Pendidkan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim.
Menteri Komunikasi berkata, usaha kerajaan memperluas jaringan NADI juga berjalan lancar, dengan 1,099 pusat dirancang di seluruh negara dan pada masa sama sembilan lagi sedang dalam proses pembinaan.
Ketika ini Johor mempunyai 101 pusat NADI dengan kira-kira 10 peratus daripada 2.2 juta keseluruhan ahli NADI seluruh negara berada di negeri ini.