Pernahkah anda menerima panggilan daripada individu yang tidak dikenali yang cuba memperdayakan dengan mendakwa anda membuat kesalahan dan terus meminta maklumat peribadi.

Mungkin perkara ini sering berlaku dan tidak hairan jika modus operasi scammer ini berubah dalam bentuk panggilan video dengan menyamar gambar ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang anda kenali.

Tidak mustahil perkara ini boleh berlaku dengan kecanggihan sistem teknologi yang berkembang pesat ditambah lagi ciri kecerdasan buatan (AI) yang mampu meniru apa sahaja perlakuan manusia.

Bayangkan pada satu hari anda menerima panggilan telefon daripada ibu bapa dikampung menggunakan panggilan video untuk meminta wang dan anda tanpa sebarang syak wasangka terus memindahkan wang ke akaun sedangkan wajah ibu bapa anda termasuk suara telah dimanipulasi oleh scammer tanpa disedari.

Justeru, bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku, HONOR Magic7 Pro buat pertama kali dilengkapi ciri AI Deepfake Detection Technology yang membantu mencegah penipuan dan mengesan kandungan yang di manipulasi secara digital.

Secara teorinya ia menggunakan teknologi AI untuk mengesan risiko manipulasi digital lalu memberikan pelindungan kepada pengguna daripada ancaman penipuan pemalsuan wajah yang semakin berleluasa.

Sebagai telefon pintar pertama di dunia yang mempunyai teknologi pada peranti ini, HONOR Magic7 Pro mampu melindungi pengguna daripada ancaman penipuan digital.

Ketika panggilan video dilakukan, AI Deepfake Detection akan mengimbas pandangan mata, cahaya, kejelasan imej dan ulangan video bagi mengenal pasti kecacatan yang mungkin tidak kelihatan pada pandangan mata kasar. Dengan memeriksa sifat-sifat ini, AI Deepfake Detection mampu mengesan kandungan yang dimanipulasi dengan tepat bagi membezakan antara media sebenar dan pengubahsuaian penipuan.

Jika terdapat sebarang anomali dikesan dalam tempoh tiga saat, HONOR Magic7 Pro akan
mengeluarkan amaran pada skrin dengan segera, mengelakkan pengguna daripada menjadi mangsa kepada penipuan, sekaligus mencipta persekitaran yang lebih selamat
untuk berkomunikasi.

Ciri ini boleh digunakan dalam beberapa pilihan aplikasi yang disokong seperti WhatsApp, Facebook Messenger dan Wechat dengan rangkaian internet yang aktif.

Sebagai sistem pengoperasian AI yang diperibadikan untuk semua keadaan yang pertama dalam industri, MagicOS 9.0 memperkenalkan ciri-ciri AI baharu kepada barisan telefon flagship ini.

Dengan kemunculan pertama HONOR Magic7 Pro, telefon pintar flagship baharu yang dikuasakan AI ini menampilkan MagicOS 9.0 dan keupayaan AI yang menarik seperti Magic Avatar, AI Notes Summarization, AI Translation, dan Magic Portal 2.0 yang dipertingkatkan.

Ciri penambahbaikan hebat ini direka bagi memperkasakan pengguna bagi menjadikan setiap interaksi dengan peranti mereka menjadi lebih pintar, lebih kreatif, dan lebih menarik.

REKAAN LUARAN

Melihat keadaan rekabentuk peranti ini kelihatan lebih baik daripada model sebelumnya kerana rekaan badannya kukuh malah mudah digengam di tangan atau disimpan dalam kocek seluar.

Panel belakang peranti ini walaupun sedikit licin tetapi permukaan kusam memberikan kelebihan kepada pemakainya dan perlindungan tambahan berupa kerangka silikon lutsinar turut dibekalkan HONOR dalam kotak peranti ini secara percuma.

Peranti ini dipadankan dengan paparan bersaiz 6.8 inci dengan panel OLED digunakan beresolusi FHD+ (1280 x 2800). Kadar segar semula yang dimilikinya adalah hingga 120Hz bergantung kepada kandungan yang ingin dipaparkan. Kecerahan puncak panel ini adalah 1,600nits dan untuk kandungan HDR, ia boleh pergi sehingga 5,000nits.

Rekaan bonggol kamera yang bulat masih dikekalkan dalam kedudukan yang sama dengan model sebelum ini. Ia juga masih besar dan tebal dengan perubahan ketara pada susunan sensor kamera di dalam grid bersama flash yang dilindungi lapisan kaca sepenuhnya.

Kombinasi kamera Matrik peranti ini adalah 50MP (kamera utama), 50MP (ultra lebar), dan 200MP (telefoto) periskop yang ada tiga kali zum optikal dan 100 kali zum digital.

Bahagian depan, pengguna diberikan kamera selfie 50MP disamping sensor kedalaman 3D sensor untuk pengenalan biometrik.

Kehebatan ciri kamera pada peranti ini memang diakui hebat apatah lagi dengan tersedianya butang AI untuk menjadikan gambar yang dirakam lebih cantik, jelas dan menarik.

Lihat dibawah gambar yang dirakam menggunakan peranti ini ketika pertunjukan bunga api sempena sambutan Tahun Baharu 2025 baru-baru ini. Rakaman video dengan bunyi juga hebat ditambah dengan speaker di kedua-dua bahagian peranti ini.

Selain ciri menarik lain, HONOR Magic7 Pro juga dilengkapi dengan ciri Harcourt dimana gambar potrait yang dirakam kelihatan seakan gambar yang dihasilkan di studio, cukup cantik dengan kesan dan pencahayaan

Selain sistem kamera yang hebat, peranti ini juga dilengkapi ciri gambar potret studio Harcourt yang menjadikan hasil gambar yang dirakam seumpama dirakam di studio gambar.

Selain itu, ciri Light Painting pula memberi pilihan merakam gambar malam, bunga api, air dan bintang dengan memberikan hasil yang lebih cantik serta mengujakan.

Secara keseluruhan peranti ini nampak lebih kemas dan tegap berbanding beberapa model sedia ada. Butang kuasa dan laras audio berada di bahagian sisi kanan. Sokongan pemancar infra merah juga masih disediakan pada bahagian sisi atas bersama satu kekisi untuk pembesar suara stereo.

Bahagian sisi kiri tidak menempatkan sebarang port dan butang. Sementara itu port USB-C, kekisi pembesar suara dan talam dwi-SIM bersaiz nano turut boleh ditemui di bahagian sisi bawah peranti.

Peranti ini memiliki ketahanan kalis air IP68/69 yang mampu melindungi peranti dari kerosakan air bertekanan tinggi.

PELBAGAI CIRI AI TERSEDIA 

Selain ciri AI Deepfake Detection Technology, peranti hebat ini turut dipadankan dengan ciri AI lain iaitu AI Magic Portal 2.0 yang kini menggantikan fungsi Circle to Search dengan keupayaan Circle to Anything yang lebih serba boleh. Ia membolehkan pengguna mengakses pelbagai perkara serta merta dengan hanya membuat bulatan pada objek atau teks yang berkaitan menggunakan belakang jari telunjuk.

Ciri ini bukan sahaja boleh digunakan untuk membuat carian semata malahan berfungsi bagi tujuan lain seperti navigasi lokasi, perkongsian kandungan, penghantaran e-mel, pembelian barangan dan banyak lagi.

Sebagai tambahannya, imej dipilih turut boleh disunting dan kemudian boleh disimpan di dalam galeri secara langsung. MagicOS 9.0 juga disertakan dengan aplikasi Google Gemini untuk meningkatkan produktiviti dan kreativiti di mana pengguna boleh menulis, menganalisis serta mencipta imej melaluinya.

Terdapat juga ciri Magic Avatar yang menggunakan AI untuk mencipta avatar yang realistik dan unik berdasarkan karakter pilihan pengguna. Ia juga membenarkan pengguna memilih lebih pelbagai gaya dengan tetapan berbeza untuk rupa paras, pemakaian, ekspresi wajah dan latar belakang. Selain turut boleh digunakan sebagai gambar profil dan latar pada peranti untuk lebih menarik.

Tidak ketinggalan juga, ciri AI Notes yang kini lebih serba boleh melalui keupayaan AI Summary yang boleh meringkaskan sebarang kandungan bertulis yang panjang dengan hanya memaparkan perkara penting yang menarik dalam beberapa saat.

AI Minutes pula boleh menghasilkan nota dan transkripsi secara automatik yang diformatkan daripada audio langsung termasuk minit mesyuarat, temu bual dan lain-lain. Sebarang kandungan turut boleh disusun dengan teratur dan kemas mengikut tajuk serta subtajuk yang bersesuaian menggunakan ciri AI Format.

Dalam pada itu fungsi AI Face to Face Translation juga lebih baik melalui tambahan sehingga 13 bahasa berbeza baharu yang termasuk Bahasa Malaysia, Korea, Japan dan Kantonis (Mandarin).

Terdapat juga fungsi Interpreter seakan peranti Samsung yang membolehkan pengguna berbual tanpa halangan lalu menjadikan komunikasi lebih mudah diakses oleh individu daripada latar belakang bahasa yang berbeza secara masa nyata.

KESIMPULAN

HONOR Magic7 Pro adalah sebuah peranti yang mengalami revolusi pantas khususnya dengan perisian AI yang dipertingkatkan berbanding model terdahulu.

Keupayaan AI khususnya ciri Interpreter yang sangat berguna untuk perbualan berbeza bahasa secara masa nyata membabitkan lebih daripada 13 jenis bahasa antarabangsa sekali gus memudahkan tugasan harian pengguna masa kini.

Sistem bateri 5,850mAh membekalkan tenaga kepada semua komponen elektronik peranti ini dan untuk mengecas, ia menyokong sistem pengecasan 100W melalui port USB-C yang dimilkinya ataupun 80W secara wayarles.

Kali ini, HONOR memberi kejutan dengan menawarkan HONOR Magic7 Pro dalam dua pilihan storan besar iaitu 512GB dan 1TB untuk menyimpan pelbagai jenis fail serta aplikasi. Harga jualan rasmi bermula RM4,599 (12/512GB) dan RM5,199 (16GB/1TB).

Tiga warna menarik ditawarkan iaitu Lunar Shadow Grey, Breeze Blue dan Black.

Spesifikasi HONOR Magic7 Pro:

  • Skrin: 6.8″ LTPO OLED, Skrin Apung Kuad Lengkung, 2800 x 1280 piksel
  • Cipset: Snapdragon 8 Elite (3 nm)
  • Sistem: Magic OS 9, Android 15
  • Saiz: Tinggi 162.7 mm x 77.1 mm x 8.8 mm
  • Memori: 12 GB
  • Storan: 512GB
  • Bateri: 5850 mAh Silikon-Karbon Generasi Kedua, Pengecasan Pantas 100W
  • Berat: 223 gram
  • GPU: Adreno 830
  • Kamera belakang: 50MP Ultra Lebar Kamera (f/2.0), 50MP Utama Super Dynamic Falcon (f/1.4-f/2.0 OIS), 200MP Periskop Telefoto (f/2.6) Optikal 2.5X, Digital Zoom 100X
  • Kamera depan: 50MP Ultra Lebar 3D TOF Sensor
  • Ciri Keselamatan: Pengimbas cap jari, pengecaman muka, nombor pin
  • Kalis Air dan Habuk : IP68/IP69
  • Warna: Lunar Shadow Grey, Breeze Blue dan Black
  • Harga: RM4,599

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini