Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, hari ini mengumumkan keputusan kewangan bagi suku ketiga tahun fiskal 2024, melaporkan hasil sebanyak RM459 juta, menandakan peningkatan sebanyak 3.6 peratus berbanding suku kedua pada tahun yang sama.

Walaupun telah mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM40.4 juta, Kumpulan telah menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 21.1 peratus berbanding suku kedua 2024, yang didorong oleh prestasi kukuh dalam kedua-dua segmen pos dan penerbangan.

Momentum positif dalam segmen pos telah didorong oleh peningkatan volum bungkusan, yang diperkukuh oleh peningkatan bahagian pasaran dan fokus khususnya terhadap pengurusan kos dan pengoptimuman rangkaian.

Segmen ini kekal komited dengan agenda transformasi dan kepelbagaian hasil, termasuk pembangunan penawaran produk antarabangsa berasaskan model perniagaan ‘asset-lite’.

Pos Aviation menjangkakan pertumbuhan berterusan tahun ke tahun, didorong oleh peningkatan operasi penerbangan, lonjakan permintaan untuk perkhidmatan katering dalam penerbangan, dan pertumbuhan dalam perkhidmatan pengendalian kargo dan kejuruteraan penerbangan.

Segmen ini berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan permintaan perjalanan dan logistik yang semakin meningkat. Walaupun Pos Logistics menghadapi cabaran pada suku ketiga disebabkan kerugian pertukaran mata wang asing yang belum direalisasikan, segmen ini sedang giat mencari peluang perniagaan baharu dan mengembangkan bahagian pasarannya dalam sektor automotif, selain meningkatkan perkhidmatan penghantaran kargo.

Kumpulan Pos Malaysia kekal komited dengan transformasi strategiknya dengan usaha berterusan untuk memacu pertumbuhan, inovasi, dan kepelbagaian merentasi segmen perniagaannya.

“Walaupun masih berada dalam persekitaran yang sangat mencabar, kami gembira melihat
peningkatan dalam segmen-segmen utama kami, terutamanya dalam segmen pos dan
penerbangan, seiring dengan pelaksanaan strategi transformasi kami,” kata Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia.

“Dedikasi pasukan kami terhadap inovasi dan kecemerlangan operasi akan menyediakan kami untuk masa hadapan yang lebih kukuh. Walaupun dalam persekitaran yang mencabar, kami tetap fokus untuk menyampaikan ‘hari esok yang lebih baik’.”

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini