Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi di bawah Kementerian Digital, hari ini mengumumkan penganjuran Persidangan Malaysia Digital Xceleration (MDX) 2024 yang akan berlangsung pada 24 hingga 25 Oktober di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Persidangan MDX 2024 yang dianjurkan dengan kerjasama Synapze sebagai Rakan Strategik, dijangka akan mengubah landskap digital negara dengan menampilkan teknologi generasi terkini yang bakal membentuk kehidupan, pekerjaan dan cara interaksi rakyat Malaysia.

Memberi tumpuan kepada lima bidang transformasi, persidangan ini bertujuan untuk memajukan ekonomi digital negara serta memperkukuhkan daya saing di peringkat serantau.

Persidangan MDX 2024 akan memberi penekanan terhadap lima teras utama – Data Trust, yang menumpukan kepada keselamatan siber dan kriptografi bagi membolehkan interaksi dan transaksi digital yang selamat dan dipercayai; Next-Gen Computing, memaparkan kemajuan dalam teknologi Unit Pemprosesan Grafik (GPU), Perkomputeran Kuantum (Quantum Computing), Perkomputeran Tanpa Pelayan (Serverless Computing), Perkomputeran Pinggir (Edge Computing), dan Model Bahasa Besar (Large Language Models (LLM) untuk menyelesaikan cabaran global yang kompleks; Computer Vision, memperkasakan mesin untuk melihat, mentafsir, dan mengubah persekitaran kita; Metaverse, mengubah cara hidup, bekerja, dan bermain melalui pengalaman digital yang imersif; serta Digital Twins, merevolusikan industri seperti penjagaan kesihatan dan automotif dengan replikasi digital yang meningkatkan kecekapan dan inovasi.

Persidangan ini akan membincangkan mengenai kemampuan teknologi-teknologi ini dalam memperkukuh kedudukan Malaysia dalam era digital melalui sesi ucaptama yang menarik, perbincangan panel pakar, dan pameran yang interaktif.

Dengan memanfaatkan teknologi inovatif, Persidangan MDX 2024 menyasarkan untuk mempercepatkan misi negara menjadi kuasa digital global, sekali gus membuka langkah dalam persaingan landskap digital yang semakin kompetitif.

Sebagai pemangkin transformasi, Persidangan MDX 2024 akan menawarkan peserta dengan informasi dan peluang untuk berhubung dengan inovator-inovator lain serta menyediakan inspirasi untuk membina ekonomi yang bersedia dalam menghadapi cabaran masa depan.

Persidangan MDX 2024 juga akan menampilkan dua penceramah utama yang juga pakar antarabangsa yang terkenal dalam kesiapsiagaan dan penerapan teknologi digital.

Fleur Pellerin, bekas Menteri Perancis untuk PKS, Inovasi, dan Ekonomi Digital, akan membincangkan mengenai “Dasar, Teknologi, dan Masa Depan Inovasi,” manakala Mike Walsh, Ketua Pegawai Eksekutif Tomorrow, sebuah firma perunding global yang memberi tumpuan kepada syarikat abad ke-21, akan berkongsi pandangan mengenai “Cara Membangunkan Tamadun Berkuasa AI.”

Selain itu, Persidangan MDX 2024 berbesar hati menyambut BlackBerry sebagai Penaja Berlian untuk acara ini. BlackBerry akan menampilkan penyelesaian keselamatan siber terbarunya dan berkongsi pandangan mengenai komitmen Malaysia terhadap transformasi digital yang selamat dan berdaya tahan.

Christine Gadsby, Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat (CISO) BlackBerry Cybersecurity, akan mengetuai dua sesi utama mengenai evolusi keselamatan siber dan juga masa depan data berdaulat sendiri.

Seiring dengan evolusi landskap digital global, rakyat kini semakin giat untuk menerimaguna dan menginovasi teknologi baharu. Justeru, Persidangan MDX 2024 menyediakan platform strategik untuk meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam era digital ini, memastikan negara terus kekal berdaya saing dan berpengaruh dalam ekonomi digital global yang semakin berkembang pesat.

Untuk maklumat lanjut mengenai Persidangan MDX 2024, sila layari https://mdec.my/mdx

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini