Volvo EX30 – kereta elektrik terbaru Volvo yang direka untuk setiap detik dalam hidup kini dilancarkan di Malaysia. Padat dengan teknologi dan padat dengan keselamatan, EX30 merupakan ikon terbaharu dalam visi Volvo untuk memberi pelanggan kebebasan bergerak secara peribadi, lestari dan selamat.
Volvo EX30 mempamerkan pecutan terpantas bagi mana-mana kereta Volvo setakat ini dan juga dilengkapi teknologi terkini termasuk sistem parkir automatik, antara muka intuitif dengan Google Built-in, sistem Pilot Assist yang dinaik taraf dan kesedaran sekeliling 360° yang lebih selamat dan dibantu oleh kamera, sensor dan radarnya.
Tiga varian ditawarkan di Malaysia – dua versi Single Motor Extended Range Plus dan Ultra, serta versi Ultra Twin Performance motor berkembar.
Volvo EX30 | Harga3 | Kuasa (PS) | Tork (Nm) | 0-100 km/h | Jarak Pemanduan (WLTP) |
Plus | RM188,888 | 272 | 343 | 5.3 sec | 476 km |
Ultra | RM208,888 | 272 | 343 | 5.3 sec | 476 km |
Ultra Twin Performance | RM228,888 | 428 | 543 | 3.6 sec | 450 km |
Varian teratas Volvo EX30 Ultra Twin menjana kuasa 428 PS dan tork 543 Nm, membolehkan pecutan 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.6 saat. Manakala, varian EX30 Plus dan EX30 Ultra dengan motor magnet kekal tunggal di gandar belakang menawarkan kuasa 272 PS dan tork 343 Nm dengan pecutan dalam 5.3 saat.
Semua model dilengkapi bateri NMC berkapasiti tinggi 69 kWh yang memberikan jarak sehingga 476 km untuk varian motor tunggal dan 450 km untuk EX30 Ultra Twin Performance1. EX30 mampu dicas pantas menggunakan pengecas DC 175 kW dari 10 hingga 80 peratus dalam hanya 28 minit.
Ciri-ciri standard termasuk lampu depan LED, roda aloi Diamond Cut 19-inci, Pilot Assist, sistem audio premium Harman Kardon, tailgate kuasa, cermin pandang belakang dan cermin sisi anti-silau, lampu ambien dalaman bertema, serta suite penuh sistem bantuan pemandu canggih Volvo. Varian Ultra menambah ciri Park Pilot Assist, kamera 360°, tempat duduk hadapan berkuasa, dan bumbung panoramik.
Pelanggan mempunyai pilihan warna luaran Cloud Blue, Vapour Grey, Crystal White, dan Onyx Black, dengan warna unik Moss Yellow – diilhamkan oleh lumut yang tumbuh di sepanjang pantai barat Sweden – tersedia secara eksklusif untuk varian Ultra untuk tempoh terhad di Malaysia.
EX30 ialah kenderaan elektrik penuh terbaru Volvo Car Malaysia yang dipasang secara tempatan, dengan harga bermula dari RM188,888 untuk EX30 Plus, RM208,888 untuk EX30 Ultra, dan RM228,888 untuk EX30 Ultra Twin Performance3. Pelanggan di Sabah dan Sarawak boleh mendapatkan varian tersebut pada harga RM188,648, RM208,648 dan RM228,648 untuk setiap varian berbeza.
Seperti setiap model elektrik penuh Volvo, EX30 datang dengan lima tahun Pelan Servis Volvo (VSP), perkhidmatan digital, bantuan tepi jalan 24 jam, serta jaminan kenderaan tanpa had jarak perjalanan. Untuk ketenangan minda pengguna, bateri voltan tinggi dijamin selama lapan tahun.
Selamat Secara Pintar
Dalam mengkonseptualisasikan kereta, pereka Volvo menitik beratkan kepentingan setiap detik, dari segi idea, reka bentuk, pilihan bahan, pengiraan dan ujian untuk membuat kereta yang dimaksudkan untuk setiap perjalanan dan setiap orang di dalam dan di sekeliling kereta.
EX30 dilengkapi dengan Safe Space Technology Volvo dan sistem bantuan pemandu canggih yang dikongsi dengan kereta terulung Volvo – didayakan oleh radar, sensor ultrasonik, dan kamera yang terletak di sekeliling.
Malah, EX30 menambah lebih banyak ciri keselamatan termasuk:
- Amaran pembukaan pintu inovatif yang mengesan kenderaan dua roda atau pengguna jalan raya lain dari belakang dan memberi amaran kepada penumpang dengan isyarat visual dan audio apabila cuba membuka pintu.
- Pilot Assist yang dinaik taraf yang turut melaraskan jarak optimum dari kenderaan berat di lebuh raya.
- Pembrekan automatik untuk trafik lintasan hadapan, pembelokan di persimpangan, dan pengunduran pada kelajuan rendah.
- Pemanduan pencegah pelanggaran automatik untuk pengguna jalan raya seperti penunggang motorsikal dan basikal yang berada di sebelah ketika di lorong sehala.
Volvo EX30 juga yang pertama menyertakan generasi baharu ciri Park Pilot Assist yang boleh menangani ruang parkir selari, melengkung, tegak, dan serong. Park Pilot Assist boleh mengenal pasti ruang parkir yang tersedia dan mengambil alih kawalan pecutan, brek dan stereng untuk mengendalikan kereta.