Kumpulan Perbankan Islam Maybank mencatat satu lagi pencapaian dengan melancarkan operasi perbankan Islam (Islamic Banking Window) pertama menerusi Maybank Filipina (MPI) di cawangan Zamboanga baru-baru ini bagi memenuhi
permintaan masyarakat Islam di sana terhadap produk dan perkhidmatan patuh Syariah.

Cawangan ini pada awalnya akan menawarkan deposit dan akaun semasa patuh Syariah
dalam fasa percubaan dan akan diperluas kepada pelbagai solusi yang lain di masa akan
datang.

Zamboanga terletak di Pulau Mindanao, Filipina – kawasan majoriti Muslim Filipina. Menurut data Banci 2020, Bandar Zamboanga adalah kawasan jumlah penduduk Muslim tertinggi di antara bandar – bandar di Mindanao iaitu 37.6% daripada jumlah penduduk, dengan jumlah penduduk dijangka mencapai 1 juta antara tahun 2020 dan 2025.

Pelancaran operasi perbankan Islam ini diadakan pada 14 Ogos 2024 dan dihadiri oleh duta Malaysia ke Filipina, Dato’ Abdul Malik Melvin Castelino, Kumpulan Penyeliaan Perbankan Islam dan Timbalan Pengarah Bangko Sentral ng Pilipinas, Atty. Noel P. Tianela, Timbalan CEO Maybank Islamic Berhad, Nor Shahrizan Sulaiman, dan Pengarah Negara, Presiden dan CEO MPI, Abigail Tina M. Del Rosario.

Nor Shahrizan berkata, “Kumpulan Maybank telah menetapkan matlamat untuk operasi perbankan Islamnya – untuk menjadi Pemimpin Kewangan Islam Global. Oleh itu, dengan perkembangan penawaran produk perbankan Islam di sini iaitu di negara yang
bukan didominasi oleh masyarakat Muslim, kehadiran kami ini menandakan satu lagi
pencapaian kami di peringkat serantau.

“Kami komited dalam strategi dalaman kami bagi merealisasikan agenda perbankan Islam dengan memenuhi keperluan pelanggan serta mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju kewangan Islam dengan menumpukan kepada penyelesaian kewangan berasaskan Syariah di pasaran utama yang memberi nilai positif dalam komuniti dimana kami beroperasi.”

Beliau menambah, perbankan Islam lebih daripada sekadar sistem kewangan alternatif,
serta ia juga mencerminkan prinsip keadilan, ketelusan dan pelaburan beretika.

“Dengan menerapkan prinsip-prinsip ini, kami bukan sahaja memenuhi keperluan populasi yang pelbagai tetapi juga menetapkan duluan untuk ekosistem kewangan yang lebih adil.

“Kami percaya bahawa sektor perbankan perlu mewujudkan rasa tujuan yang jelas untuk memenuhi keperluan dan kebimbangan masyarakat – seperti mempromosikan kewangan yang mampan dan memastikan akses inklusif kepada perkhidmatan kewangan.

“Dengan itu, kita dapat merealisasikan potensi penuh kewangan positif bagi memajukan pembangunan sosial dan ekonomi.”

Abigail Tina M. Del Rosario berkata, “Ini adalah pencapaian penting untuk Maybank di
Filipina. Pengenalan Perbankan Islam di negara ini bukan sekadar memperluas perkhidmatan kami; ini juga menunjukkan komitmen kami terhadap keadilan, ketelusan dan kesejahteraan komuniti.

Kewangan Islam dibina atas asas keadilan, ekuiti dan kemakmuran bersama prinsip-prinsip yang sangat selaras dengan organisasi kami.”

Maybank Filipina mempunyai rangkaian 60 Cawangan, 15 Pusat Pinjaman, 9 Pusat Premier Wealth, 8 Cawangan Lite dan hampir 80 ATM di seluruh negara.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini