Pengerusi NGO Antarabangsa merangkap Profesor Adjung Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dato Dr Mustapha Ahmad Marican mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Dato Sri Amran Mohamed Zin di pejabatnya, di Putrajaya baru-baru ini.
Mustapha berkata, perbincangan adalah berkisar dengan menyentuh isu-isu semasa serantau dan antarabangsa.
“Pendekatan Kerajaan hari ini amat terserlah dengan peranan yang dimainkan Wisma Putra serta Pejabat-pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar Negara, termasuk dalam usaha menarik pelabur luar untuk datang melabur di Malaysia.
“Peranan ini turut dimainkan kementerian dan agensi lain seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Pelancongan, Kessenian dan Budaya.
“Peranan Wisma Putra amat mencabar, dengan Pejabat-pejabat Perwakilan Diplomatik menjadi tempat rujukan utama rakyat Malaysia sewaktu berada di luar negara, tambahan lagi di zon konflik dan bencana,” katanya.
Beliau berkata, isu lain yang turut disentuh termasuk isu Palestin khususnya Kerajaan Malaysia memperjuangkan hak rakyat Palestin amat jelas dan memperlihatkan kesungguhan Negara.
Katanya, Malaysia bukan sahaja menzahirkan sokongan daripada segi usaha diplomatik, malah negara sanggup mengambil pesakit rakyat Palestin untuk diberi rawatan di Malaysia.
“Usaha ini boleh memberi dorongan kepada negara-negara lain untuk sama-sama membantu, khususnya Negara Asia Barat yang memiliki kestabilan daripada segi kewangan,” katanya.