GoCar Malaysia, peneraju platform mobiliti sebagai perkhidmatan berdasarkan kepada permintaan telah melancarkan satu program pandu uji lanjutan baharu dikenali sebagai “GoCar Experience” yang dimulakan dengan model elektrik sepenuhnya AION Y Plus.

Pertama seumpamanya di dalam industri, GoCar Experience membolehkan pembeli berpotensi untuk membawa pulang dan menikmati pengalaman memandu AION Y Plus selama tiga atau tujuh hari. Ini sekali gus membolehkan mereka mencuba EV tersebut secara lebih komprehensif sebelum membuat pembelian.

“Kami teruja untuk menawarkan satu cara baharu inovatif yang membolehkan orang ramai menikmati gaya hidup memiliki sebuah kereta dengan memandu model-model terkini, bermula dengan AION Y Plus.

“Kenderaan moden hadir dengan pelbagai teknologi dan ciri termaju yang tidak boleh dirasai melalui sesi pandu uji ringkas selama lima hingga 10 minit. Melalui program GoCar Experience, pelanggan berpotensi akan mempunyai lebih banyak masa untuk merasai sendiri pengalaman memandu kenderaan ini mengikut rutin harian mereka.

“Ia juga membolehkan pelanggan untuk membuat keputusan lebih bijak berkaitan pelaburan bernilai tinggi ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif GoCar Malaysia, Wong Hoe
Mun.

Pandu uji unik dengan pulangan wang sepenuhnya

Kadar program GoCar Experience dengan AION Y Plus bermula RM399 untuk tiga hari dan RM899 bagi sesi pandu uji selama tujuh hari. Kedua-dua pilihan itu merangkumi kredit pengecasan EV (RM20 untuk pandu uji selama tiga hari dan RM50 untuk tujuh hari) yang boleh diaktifkan menerusi GoCar mobile app.

Deposit sekuriti sebanyak RM399 untuk kedua-dua pelan turut diperlukan, ia akan dikreditkan sepenuhnya dalam masa 7-14 hari bekerja sebaik sahaja kenderaan dipulangkan semula.

Apa yang paling menarik ialah yuran itu akan dipulangkan sepenuhnya kepada pelanggan yang mengambil keputusan untuk membeli kereta berkenaan selepas sesi pandu uji mereka.

Bagaimana hendak menikmati GoCar Experience

Buat masa sekarang, program GoCar Experience hanya ditawarkan di AION Petaling Jaya. Mereka yang berminat boleh membuat tempahan dengan mengunjungi bilik pameran yang terletak di Jalan Kemajuan atau menerusi GoCar Experience website.

Program ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu yang sah, serta orang asing dan ekspatriat dengan pas memandu antarabangsa.

Tempahan hendaklah dibuat 24 jam lebih awal. Kenderaan hanya boleh diambil dan dipulangkan di bilik pameran AION Petaling Jaya bermula Isnin hingga Ahad, 10.00am – 5.00pm.

Ciri-ciri dan manfaat yang tiada tandingan

AION Y Plus ditawarkan dalam dua varian: AION Y Plus Elite dan AION Y Plus Premium pada harga bermula RM119,800 hingga RM135,800. Kenderaan ini direka untuk memenuhi keperluan keluarga dan mereka yang gemar beriadah. Antara ciri-ciri utamanya termasuklah:
● Memperkenalkan Teknologi Bateri Magazine pertama di dunia: Sifar insiden nyalaan api atau letupan dalam Ujian Penembusan Peluru.
● ⁠Menjadi antara jarak paling jauh dalam kelasnya: Menawarkan jarak sehingga 490km (NEDC) dengan rekod baharu jangka hayat bateri.
● Ruang dalaman luas: Tempat duduk hadapan dan belakang boleh dilipat sepenuhnya. Sekali gus mampu memberikan satu ruang yang luas dan versatil, boleh diubah menjadi tempat tidur yang selesa.
● Rekaan bergaya: Dengan rekaan lampu utama angel wing, lampu belakang minimalis dan skrin berkembar pintar (kluster instrumen 10.25 inci dan paparan skrin sentuh 14.6 inci), AION Y Plus nyata menyerlah dari segi penampilan serta fungsinya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini