Lebih 150 penduduk menyertai program Jalan Pahlawan Family Fun Walk 2024 yang julung kali diadakan oleh Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan 22/3 hingga 46/3, Bandar Mahkota Cheras, Selangor, semalam.
Program yang mendapat sambutan hangat dikalangan penduduk itu dirasmikan oleh Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Lim Kim Eng dan turut bersama-sama melepaskan peserta larian kira-kira jam 7.35 pagi yang terdiri daripada kanak-kanak sehinggalah kepada golongan warga emas.
Keadaan cuaca yang cerah menyaksikan seramai 50 peserta tiba digarisan penamat dan melayakkan mereka menerima medal penyertaan selepas menamatkan larian sejauh kira-kira dua kilometer membabitkan laluan sekitar Jalan Pahlawan 22 dan 24.
Puan Kim Eng dalam ucapannya menyambut baik usaha persatuan penduduk ini yang aktif menjalankan beberapa program melibatkan penduduk dan amat mengalu-alukan program Family Fun Walk ini diadakan.
“Family Fun Walk ini bukan sahaja mengalakkan gaya hidup sihat tetapi mampu mengeratkan hubungan sesama penduduk yang sering sibuk dengan urusan harian malah saya sangat seronok melihat ramai yang membawa ahli keluarga menyertainya,” katanya yang turut mengumumkan sumbangan RM1,000 kepada persatuan ini.
Penduduk yang hadir dan berjaya menamatkan larian atau berjalan kaki kemudian dijamukan dengan sarapan pagi sebelum acara kemuncak iaitu cabutan bertuah diadakan membabitkan hadiah utama berupa sebuah basikal lipat berharga kira-kira RM600.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan 22/3 hingga 46/3, Bandar Mahkota Cheras, Peter Loo berkata, pihaknya amat berbesar hati dan berterima kasih di atas sambutan hangat yang diterima oleh penduduk sekitar taman ini yang menyertai aktiviti berjalan kaki sejauh dua kilometer.
“Saya tidak menjangka penyertaan yang diterima begitu menggalakkan kerana pihak AJK persatuan pada mulanya hanya menjangkakan penyertaan kira-kira 70 orang sahaja malah ada dikalangan peserta yang tiba lebih awal iaitu seawal jam 6.30 pagi sedangkan kaunter pendaftaran hanya dibuka pada jam 7 pagi.
“Justeru, kami merancang mengadakan program ini pada tahun depan dengan menyediakan lebih banyak medal dan hadiah lebih menarik bagi mengalakkan lebih ramai penduduk dapat menyertainya,” katanya.
Sementara itu, pemenang hadiah utama iaitu sebuah basikal lipat, Tan Min Xuan, 11 tahun berkata, dia berjaya menamatkan larian ini dalam kelompok 50 peserta terawal dan menyertai program ini bersama dengan ibunya serta tidak menyangka menang hadiah utama.
Saksikan gambar-gambar menarik sekitar program Jalan Pahlawan Family Fun Walk 2024 dibawah ini.