Hektar Asset Management Sdn. Bhd., pengurus Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT), mengumumkan pelantikan Zainal Iskandar Ismail, 50, sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, berkuat kuasa serta-merta.
Zainal Iskandar memiliki lebih 20 tahun pengalaman perniagaan yang merangkumi pelbagai industri seperti hartanah, minyak dan gas, pelabuhan dan logistik, hotel dan pelancongan, tenaga boleh diperbaharui, minyak sawit dan biofuel, teknologi maklumat, dan telekomunikasi, selain mahir dalam pembangunan dan tadbir urus korporat, penstrukturan semula kewangan dan pemulihan perniagaan.
Lembaga Pengarah Hektar REIT berkata, pelantikan Zainal Iskandar adalah bukti usaha syarikat untuk terus mengukuhkan tadbir urus REIT dan meningkatkan kepakaran Lembaga Pengarah, yang penting dalam mengemudi Hektar REIT ke kedudukan yang lebih kukuh untuk bergerak ke hadapan.
“Pengalaman mendalam beliau dalam pembangunan korporat dan pelaburan akan menyumbang besar dalam usaha pertumbuhan Hektar REIT untuk menggandakan saiz portfolio dan meningkatkan permodalan pasaran REIT. Bersama-sama dengan pasukan Pengurusan, kami berharap untuk membentuk fasa pertumbuhan seterusnya Hektar REIT,” katanya di sini hari ini.
Zainal Iskandar memiliki Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dalam jurusan Perakaunan dari Universiti Auckland, New Zealand membawa banyak pengalaman kepada Hektar REIT, selain memegang beberapa jawatan penting dalam syarikat tersenarai awam dan swasta.
Beliau kini berkhidmat sebagai Pengerusi PKEINPK Properties Sdn Bhd, Rakan Kongsi Urusan Heureka Capital Partners, dan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Ekonomi Islam Perak, yang merupakan cabang perniagaan dan pelaburan Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak.
Sebelum ini, Iskandar berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Perak Corporation Berhad (Perak Corp). Beliau juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd (Pelabuhan Lumut), dan Pemegang Amanah Yayasan Alam Corp Perak.