Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) melancarkan BizSmart® Challenge Accelerator Edition (“Cabaran” atau “Cabaran BizSmart®) sebagai satu inisiatif penting bertujuan memperkasakan para usahawan dalam mempercepatkan pertumbuhan
perniagaan mereka.
Sempena meraikan ulang tahun ke-10, Bank telah meluaskan kriteria kelayakan untuk cabaran ini supaya lebih banyak PKS dapat menyertai bagi merebut peluang mengembangkan perniagaan mereka dengan lebih pantas.
Cabaran yang memasuki siri yang ketujuh kini akan diperluaskan lagi untuk menerima penyertaan daripada PKS Malaysia yang telah beroperasi selama 1 hingga 10 tahun dengan perolehan jualan tahunan sebanyak RM500,000 hingga RM40 juta.
Buat pertama kali dalam sejarah Cabaran BizSmart ® , cabaran tahun ini memberi peluang kepada 30 orang finalis teratas untuk mempersembahkan pelan perniagaan dan idea mereka kepada para pelabur modal teroka daripada 1337 Ventures dan 5X Capital.
Ini memberi peluang yang penting kepada para usahawan untuk menarik perhatian pelabur seterusnya mendapat rakan niaga jangka panjang serta dana pelaburan yang akan membawa mereka ke peringkat yang lebih tinggi dalam perniagaan.
Para finalis juga perlu menambat hati para hakim yang kemudiannya akan memilih 10 perniagaan teratas untuk memasuki pusingan kedua persembahan perniagaan dan peluang
memenangi hadiah wang tunai, bimbingan perniagaan, pendedahan jenama dan latihan perniagaan bernilai sehingga RM2 juta selain keutamaan pembiayaan sehingga RM20 juta dari Bank.
Semua finalis Cabaran BizSmart ® juga boleh memanfaatkan sumber, pengalaman dan pengetahuan para rakan program termasuk dari 1337 Ventures, 5X Capital, Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC) dan Cradle.
Kerjasama ini menekankan nilai yang dikongsi bersama iaitu memberi peluang kepada pemilik perniagaan untuk mencapai potensi mereka yang sepenuhnya menerusi sokongan
dan usaha mempercepatkan pertumbuhan perniagaan di Malaysia.
“Pelancaran BizSmart® Challenge Accelerator Edition menekankan lagi komitmen kami untuk mengembangkan perniagaan menerusi inisiatif yang inovatif yang menawarkan sokongan melalui penyelesaian perbankan dan bukan perbankan yang relevan dan dinamik.
“Kami sedar bahawa pemilik perniagaan berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya semasa fasa permulaan, termasuk usaha mendapatkan dana hinggalah kepada menerima latihan perniagaan yang berkaitan.
“Oleh yang demikian, kami bekerjasama dengan pakar-pakar daripada pelbagai bidang yang berbeza untuk memenuhi keperluan industri yang berbilang. Dalam usaha Bank untuk menjadi The Bank For Life bagi para pelanggan, kami mahu membantu perniagaan berjaya pada setiap peringkat kitaran hayat dengan menawarkan mereka penyelesaian yang berbeza untuk memenuhi keperluan mereka yang unik ketika perniagaan sedang berkembang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam.
Salah satu ciri utama program ini ialah barisan hakim dan pelabur terkenal yang menampilkan Kam, Bikesh Lakhmichand, Rakan Kongsi Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif 1337 Ventures dan Natalie Tan, Rakan Kongsi di 5X Capital bersama dua orang wakil penaja Anugerah Kategori iaitu Sean Tan, Ketua Pegawai Perniagaan CGC dan Rakan Ekosistem iaitu Mohd Noor Hisham Abdul Bari, Penolong Naib Presiden MYStartup Malaysia dari Cradle.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, sehingga kini, kerjasama antara CGC dan Alliance Bank yang dijalin sejak tahun 2013 telah menyaksikan Jaminan Portfolio sebanyak RM2.65 bilion.
Kerjasama ini diteruskan dengan BizSmart® Challenge Accelerator Edition di mana PMKS akan diberi peluang untuk mengukuhkan kemahiran yang kritikal, meningkatkan pengetahuan yang penting dan mendapat pendedahan kepada para peneraju industri.
Komitmen CGC dalam membantu PMKS membina asas perniagaan yang kukuh untuk pertumbuhan yang mampan terbukti melalui pelbagai penyelesaian kewangan yang ditawarkan serta inisiatif Beyond Guarantee kami, khususnya CGC Developmental Programme® yang memberikan bantuan pembiayaan dan nasihat kepada PMKS.
Ini selari dengan mandat CGC untuk menjamin pembiayaan PMKS dan merapatkan jurang antara institusi kewangan / institusi kewangan pembangunan dan PMKS.”
“Cradle teruja untuk mengambil bahagian dalam BizSmart® Challenge Accelerator Edition tahun ini. Cabaran ini merupakan sebuah program yang menunjukkan komitmen kami untuk memupuk inovasi dan pertumbuhan keusahawanan.
“Sebagai sebuah agensi utama bersama-sama dengan MYStartup sebagai Tetingkap Tunggal untuk ekosistem syarikat permulaan Malaysia, kami kekal komited untuk menyediakan sumber penting kepada semua usahawan ketika mereka mengemudi perjalanan mengembangkan perniagaan ke arah kejayaan.
“Menerusi kerjasama dengan para penggiat penting yang lain dalam ekosistem ini, kami mahu bersama-sama bergerak ke hadapan dan optimis untuk menyumbang kepada negara Malaysia yang lebih maju — membimbing usahawan seorang demi seorang,” kata Norman Matthieu Vanhaecke, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle.
“Kami memberi tumpuan untuk memupuk PKS yang inovatif, terutamanya para usahawan yang memberanikan diri untuk beralih daripada operasi perniagaan secara tradisional kepada pendigitalan.
“Di 1337 Ventures, kami menyokong PKS yang sedang pesat berkembang yang menunjukkan potensi besar melalui transformasi digital. Saya teruja untuk membimbing perniagaan yang berwawasan ini untuk melalui perjalanan pengumpulan dana dan membantu mereka mendapatkan pelaburan yang mereka perlukan untuk maju dan berkembang.
“Cabaran BizSmart ® menawarkan peluang unik kepada para usahawan untuk mempamerkan idea hebat mereka, memperoleh wawasan yang tidak ternilai dan menerima sokongan yang diperlukan untuk membawa perniagaan mereka ke peringkat seterusnya,” kata Bikesh.
“Walaupun syarikat korporat yang besar membentuk Bursa, namun PKS sebenarnya menjadi tulang belakang identiti ekonomi Malaysia dan 5X Capital berbesar hati untuk memberi sumbangan dalam mengasah bakat para pemimpin syarikat akan datang yang mengukuhkan rangka kerja ini.
“Kami berharap dapat mengembangkan ekosistem untuk syarikat-syarikat sedemikian untuk mencapai kejayaan dan berkembang maju melalui platform seperti Cabaran BizSmart ® Alliance Bank, yang menawarkan peluang kepada pengasas perniagaan yang bercita-cita tinggi untuk pendedahan yang luas, pengalaman bimbingan dan potensi untuk memperoleh pembiayaan,” kata Tan.
Satu lagi kelebihan Cabaran pada tahun ini ialah program pemecutan tiga hari berstruktur yang diketuai oleh 1337 Ventures yang akan disertai oleh 30 finalis teratas untuk membangunkan rancangan perniagaan dan promosi mereka secara terperinci. Di samping itu, para peserta akan mendapat manfaat daripada sesi bimbingan perniagaan yang disesuaikan merangkumi topik seperti cabaran PKS dan perniagaan, industri halal dan kemampanan yang akan diterajui oleh Alliance Bank bersama 5X Capital dan alumni terpilih dari Cabaran dari musim sebelum ini.
Sejak dimulakan pada tahun 2013, Cabaran BizSmart ® telah menerima lebih 2,200 penyertaan manakala lebih 155 peserta finalis telah mendapat manfaat daripada latihan dan bimbingan yang diberikan.
Antara alumni Cabaran yang terkenal ialah pelopor industri seperti Amazin’ Graze, Signature Market, Christy Ng, Chriszen, myBurgerLab, BloomThis dan Heal Nutrition, yang kesemuanya telah mencapai kejayaan luar biasa dalam perniagaan mereka.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif Cabaran, Bank juga akan menganjurkan Persidangan
Perniagaan BizSmart ® 2024 pada 16 Julai 2024 dengan tema “Business Beyond Tomorrow”.
Acara turut menyaksikan pelbagai sesi panel, sembang santai dan sesi sampingan menampilkan penceramah daripada HEXA Food, Montigo Malaysia by RPG Commerce, Mamee, Pelabur Modal Teroka dan alumni Cabaran BizSmart ® musim lalu. Acara bertiket selama 1 hari ini akan diadakan di W Hotel Kuala Lumpur dan dibahagikan kepada dua sesi yang disasarkan kepada kumpulan usahawan yang berbeza. Sesi pagi akan ditujukan kepada PKS yang beroperasi kurang daripada 5 tahun manakala sesi terakhir akan memaparkan topik yang sesuai untuk PKS yang sudah lama ditubuhkan yang menjalani peralihan kepimpinan merentas generasi.
PKS yang berminat digalakkan untuk menghantar penyertaan mereka mulai sekarang hingga 15 Julai 2024 dan peserta yang disenarai pendek akan dihubungi pada bulan Ogos. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang BizSmart ® Challenge Accelerator Edition, sila layari www.bizsmart.com.my.