Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat milik penuh Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), mengumumkan harga bagi varian ZX-25R iaitu Modenas ZX-25RR.
Sejak kemunculan pertama Modenas ZX-25R SE pada September 2023 lalu, model ini terus mencipta satu fenomena baharu di dalam arena permotoran di negara ini, memberikan prestasi dan gaya yang tiada tandingan dalam kelasnya.
Kedua-dua ZX-25R SE dan ZX-25RR mempunyai sistem suspensi hadapan yang sama iaitu SFF-BP 37 untuk memastikan pengendalian dan kestabilan yang luar biasa. Walau bagaimanapun, ZX-25RR, dalam kemasan double-R nya, dilengkapi dengan Horizontal Back-link serta BFRC Lite Gas untuk sistem suspensi belakang.
Ciri ini juga menawarkan mampatan serta redaman lantunan yang cekap, bersama-sama dengan kebolehlarasan spring yang membolehkan penunggang menyesuaikan lagi pengalaman menunggang mereka.
Selain dari reka bentuk yang menarik, kedua-dua model turut dilengkapi dengan:
Enjin empat sebaris 250cc berprestasi tinggi, dikuasakan dengan kuasa maksimum 34.5 kW dan tork 22 Nm, untuk memberikan pengalaman tunggangan yang mengujakan sama ada di trek atau jalan raya.
Ciri elektronik yang paling baharu termasuk Kawasaki Traction Control (KTRC), Kawasaki Quick Shifter (KQS), Assist & Slipper Cluth dan 3 mod tunggangan yang berbeza dalam memastikan keselamatan dan prestasi optimum semasa menunggang.
Selain itu, kedua-duanya dilengkapi dengan mod tunggangan serta paparan skrin TFT yang menampilkan sambungan Bluetooth melalui aplikasi Rideologynya, dalam meningkatkan pengalaman dan kelancaran ketika menunggang.
Harga yang disyorkan bagi model ZX-25RR ialah, RM36,500, menjadikannya pilihan yang sangat menarik bagi peminat motosikal yang mencari prestasi dan gaya tanpa kompromi. Model ini boleh didapati di semua bilik pameran Kawasaki All-Star Dealer menjelang akhir Mac 2024.