Razer Fintech, cabang teknologi kewangan Razer Inc., bersama unit pembayaran B2Bnya, Razer Merchant Services (RMS), memperkenalkan inisiatif penjenamaan semula yang dinamik.
Syarikat itu melancarkan nama tunggal, logo dan identiti baharu dikenali sebagai Fiuu, sekali gus menandakan rancangan bercita-cita tingginya untuk menjadi peneraju dalam perkhidmatan pembayaran digital masa depan.
Menuju ke hadapan, Fiuu, dilihat bersedia untuk beroperasi sebagai anak syarikat kendiri Razer Inc., dalam usahanya untuk memperkasakan segmen pelanggan perniagaan dan individu, selaras dengan keperluan pembayaran yang semakin berkembang.
Langkah strategik ini mencerminkan komitmen syarikat untuk menyediakan penyelesaian pembayaran yang inovatif kepada peniaga di seluruh dunia. Sebagai sebahagian daripada inisiatif penjenamaan semula ini, Lee Li Meng akan menyerahkan tampuk kepimpinannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kepada Eng Sheng Guan, di mana beliau seterusnya akan mengambil peranan baharu sebagai Pengerusi Eksekutif Fiuu, berkuat kuasa 1 Mac 2024.
Dengan pengalaman luas Encik Eng yang telah terbukti sejak lebih 25 tahun dalam industri pembayaran dan kepimpinan, pelantikannya menandakan lembaran baharu dalam hala tuju pertumbuhan dan inovasi syarikat. Visi dan dedikasi Eng adalah sejajar dengan komitmen Fiuu dalam menawarkan penyelesaian dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
Menerusi kepimpinannya, Fiuu menyasarkan untuk mencapai tahap baharu dalam industri fintech.
“Penjenamaan semula kami bukan sekadar perubahan nama; ia merangkumi visi kami untuk Memperkasakan Perkhidmatan Pembayaran Masa Depan. Kami berusaha memperkasakan pengalaman pembayaran yang lancar dan memacu era baharu perniagaan.
Dengan ekonomi digital Asia Tenggara yang berkembang pesat dan unjuran pendapatan dijangka mencecah AS$295 bilion menjelang 2025, komitmen kami adalah untuk memacu kepentingan penyelesaian pembayaran yang inovatif menjadi lebih lebih besar lagi.”
kata Lee.