Jenama fesyen terkemuka Malaysia, Ariani dengan bangganya melancarkan koleksi terbaru, ‘1001 Tales of Ariani’ dalam sebuah majlis pertunjukan fesyen yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre, baru-baru ini.
Majlis yang diserikan dengan kehadiran DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin kali ini tidak hanya tertumpu kepada koleksi lebaran 2024 semata-mata tetapi juga mempamerkan inovasi dan kreativiti yang tiada tandingnya dalam industri fesyen hijab dan busana muslimah di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif ARIANI Textiles and Manufacturing (M) Sdn Bhd, Datin Seri Farah Haryani Muhammad Philip berkata, pihaknya berasa syukur atas sokongan berterusan yang diterima dari pelanggan setia ARIANI dan akan memberi komitmen dalam menyediakan produk berkualiti tinggi, yang menggabungkan elemen keselesaan, gaya dan nilai eksklusif.
Majlis pertunjukan fesyen yang bertemakan Arabic ini dibuka dengan segmen Galeri Ariani, mempamerkan lebih dari 40 koleksi hijab yang merangkumi tudung polos dan printed, dengan pelbagai rekaan seperti voile embroidery, embroidery plain, jacquard twill, koleksi popsicle, dan shawl bersulam.
Setiap koleksi direka dengan nuansa glamor dan penuh warna, menampilkan motif alam, flora, dan cetakan abstrak yang elegan dan praktikal.
Segmen kedua pada petang itu diteruskan dengan pertunjukan rekaan dari ARIANI LUXE, rangkaian koleksi hijab premium yang direka oleh pereka berkemahiran dan berpengalaman dengan sentuhan artisan yang mahir dalam mereka bentuk pola dengan perincian lace dan Swarovski eksklusif.
Kesemua koleksi tudung ARIANI LEBARAN 2024 ini disasarkan untuk semua wanita pelbagai peringkat usia.
Menjangkau tahun kedua penubuhan, koleksi pakaian lelaki ARYAN turut menampilkan pelbagai rangkaian koleksi pakaian lelaki bermula dari kanak-kanak sehingga golongan dewasa.
Pertunjukkan fesyen pada petang itu memperlihatkan seleksi pakaian ARYAN seperti baju Melayu sedondon, kurta dan jubah yang kesemuanya direka khas menggunakan produk dan bahan yang berkualiti serta penekanan kepada jahitan yang kemas dan terperinci.
Pertunjukan fesyen ‘1001 Tales of Ariani’ pada tahun ini masih lagi mengekalkan 3 duta Ariani iaitu Lisa Surihani, Bella Dally & Uyaina Arshad, dan menambah muka-muka baru gandingan para selebriti iaitu keluarga besar pasangan selebriti Amar Bahrin & Amyra Rosli serta Fyza Kadir sebagai wajah terbaru Ariani RTW Premium.
Segmen ARIANI RTW menampilkan 110 koleksi lebaran yang merangkumi kurung moden polos, kurung printed moden, kaftan dan jubah. Bersesuaian dengan konsep ready-to-wear, ARIANI RTW mahukan setiap wanita merasai pengalaman perayaan yang istimewa dengan memperkenalkan harga mampu milik dan berbaloi untuk dimiliki disamping rekaan yang minimal dan elegan.
Istimewanya tahun ini, setiap koleksi didatangkan dengan kepelbagaian size bermula XXS sehingga 6XL. Malah pada tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya, ARIANI RTW turut melancarkan rekaan khusus bagi membolehkan para ibu bergaya sedondon dengan si cilik di hari raya.
Kemuncak majlis pada petang itu adalah pertunjukan fesyen dari The Premium Series by ARIANI RTW yang merangkumi jubah dan abaya premium serta koleksi kurung eksklusif khusus untuk pelanggan yang gemarkan rekaan mewah dengan sentuhan eksklusif dan dijual dalam kuantiti yang terhad.
Penggunaan material berkualiti tinggi dengan pelbagai rekaan potongan yang dilengkapi dengan aksesori bertatahkan swarovski antara keistimewaan koleksi The Premium Series ini.
Istimewanya lagi pada tahun ini, flagship store Ariani yang terbaharu ‘House of Ariani’ akan ditransformasi dan diperindahkan dengan tema Arabic hasil sentuhan magik perunding acara terkemuka REKA TEEMOR khas kepada pelanggan Ariani.
Majlis pada petang itu turut diserikan dengan persembahan istimewa oleh artis-artis jemputan antaranya Zizi Kirana yang mendendangkan semula lagu yang dipopularkan oleh penyanyi Arab, ‘Sabry Aleel’ sebagai tema khas kepada keseluruhan majlis pertunjukan fesyen yang membawa tema Arab serta duet khas penyanyi tersohor negara Jamal Abdillah bersama-sama anak beliau, Zaki Yamani yang mendendangkan lagu ‘Ghazal untuk Rabiah’.