Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas) merupakan skim rebat pembelian atau langganan motosikal elektrik di bawah Belanjawan 2024 bertujuan untuk menggalakkan rakyat beralih kepada kenderaan berasaskan elektrik.
Skim rebat ini telah dilancarkan oleh Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada 8 Disember 2023 dan akan tamat pada 31 Disember 2024.
Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) selaku agensi pelaksana, telah turut mengaktifkan platform permohonan MARiiCas yang membolehkan pemohon mengakses maklumat berkaitan model-model motosikal elektrik yang ditawarkan serta memohon dan menyemak kelulusan permohonan MARiiCas.
Rebat ini akan memanfaatkan rakyat Malaysia berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah dan akan diberikan melalui kaedah berikut:
i) Pemberian subsidi secara rebat tunai sebanyak RM2,400 untuk pembelian motosikal elektrik ; ATAU
ii) Pemberian subsidi secara rebat tunai sebanyak RM200 sebulan selama 12 bulan untuk permohonan langganan motosikal elektrik.
Azrul Reza Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MARii, berkata sehingga kini, MARiiCas telah menerima sambutan yang memberangsangkan dari rakyat Malaysia.
Inisiatif ini juga disokong melalui usaha syarikat-syarikat pengeluar seperti Ryde EV yang bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi seperti CelcomDiGi, Blueshark dan Maxis, serta Ebixon yang telah membina rangkaian pengedar di Perlis dan Penang. Inisiatif ini membuktikan kesedaran dan komitmen industri tempatan terhadap perkembangan mobiliti elektrik.
Beliau menambah, “Setakat ini, kita sudah mempunyai 51 kabinet pertukaran bateri yang diusahakan oleh Syarikat Pengeluar yang berdaftar bawah MARiiCas. Namun, kami turut mengalu-alukan peluang kerjasama bagi menyediakan lebih banyak stesen pertukaran bateri dan stesen pengecas motosikal elektrik.
Selain itu, MARii juga turut meneroka kerjasama bersama institusi kewangan seperti Bank Rakyat & Bank Muamalat. Kolaborasi ini akan membuka peluang baru bagi perkembangan ekosistem motosikal elektrik di Malaysia, memastikan aksesibiliti yang lebih baik, dan mendorong lebih banyak lagi rakyat untuk beralih kepada kenderaan elektrik.”
Terkini, MARii akan menyertai Program MADANI Rakyat bertujuan mempromosikan MARiiCas dan akan membuka kaunter pendaftaran di reruai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Kami mengalu-alukan semua pemohon dan peminat motosikal elektrik untuk mengunjungi kaunter konsultasi pendaftaran MARiiCas di Program MADANI Rakyat ini. Anda hanya perlu bawa 3 dokumen yang diperlukan iaitu kad pengenalan, lesen memandu motosikal dan borang pengesahan pendapatan untuk terus mendaftar dan mendapat kelulusan segera,” katanya.